
Salah Seorang Pencipta Tiramisu, Roberto ‘Loli’ Linguanotto Meninggal Dunia
Roberto ‘Loli’ Linguanotto, seorang tukang masak pastri terkenal dari Itali yang dipercayai sebagai salah seorang pencipta tiramisu, telah meninggal dunia pada Ahad, lapor Daily Mail.
Roberto, 81, menghembuskan nafas terakhir di Itali selepas lama menghidap penyakit.
Beliau merupakan seorang cef pastri di restoran terkenal Le Beccherie milik Ado Campeol yang terletak di Treviso, utara Itali.
Walaupun seorang yang pemalu dan pendiam, beliau sangat popular dalam kalangan rakan sekerjanya.
Sebelum pemergiannya, Roberto banyak menghabiskan masa berkelana di luar negara sebelum kembali ke tempat asalnya di Veneto.
Dalam pada itu, Presiden Wilayah Veneto, Luca Zaia, turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Roberto yang telah memberikan sumbangan besar dalam dunia pastri, lapor Metro UK.
“Hari ini, tiramisu adalah kecemerlangan masakan yang diiktiraf di peringkat global.
“Kebanyakan kejayaannya adalah kerana kemahiran Roberto sebagai tukang masak pastri dan dedikasinya untuk menjadikan makanan istimewa Venetian kami unik dan tiada tandingan.
“Dia mengangkat tiramisu ke barisan hadapan hingga pencuci mulut ini dikenali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata Luca Zaia.
Sejarah Terciptanya ‘Tiramisu’

Difahamkan, resipi tiramisu tercipta secara tidak sengaja apabila Roberto terjatuhkan mascarpone (keju) ke dalam mangkuk yang berisi gula dan telur.
Resipi itu kemudian disempurnakan dengan bantuan isteri Ado Campeol, Alba di Pillo-Campeol, yang merupakan pemilik restoran tempat Roberto bekerja.
Nama pencuci mulut ‘Tirame Sù’ ini membawa maksud ‘jemput saya’ dengan penggunaan bahan seperti telur, savoiardi, gula, mascarpone, kopi dan koko.
Menurut Business Standard, tiramisu mula diperkenalkan dalam menu Le Beccherie pada tahun 1972 dan menjadi pencuci mulut kegemaran dalam kalangan penggemar manisan.
Sementara itu, seorang wartawan dan kawan rapat Roberto, Gigi Padovani, telah menulis sebuah buku berjudul ‘Tiramisu’.
Pada tahun 1983, resipi tiramisu diterbitkan dalam majalah gastronomi Treviso buat kali pertama.
Restoran Le Beccherie kemudian memperkenalkan tiramisu ke Venice sebelum ia mula dikenali di seluruh dunia.
BACA: Pencipta Mesin Karaoke, Shigeichi Negishi Meninggal Dunia
Sumber: Daily Mail, Business Standard, Metro UK