Mangsa bakal bersara Julai depan
Sumber: Sinar Harian

Salah Seorang Mangsa Nahas Bas Guru Dipercayai Bakal Bersara Julai Depan

Hannah

Salah Seorang Mangsa Nahas Bas Guru Dipercayai Bakal Bersara Julai Depan

Pembantu operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Allahyarham Hamzah Ahmad, 60, yang meninggal dunia dalam kemalangan bas persiaran yang membawa rombongan guru di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang tiga Bahau, Muadzam Shah, dijadualkan bakal bersara Julai depan.

Anak perempuan sulungnya, Siti Zulaikha, 25, menyatakan bahawa ayahnya akan bersara pada 7 Julai nanti.

Menurut Siti Zulaikha, pada awalnya ayahnya keberatan untuk menyertai rombongan ke Terengganu tersebut.

“Bagaimanapun mak (Shamsiah Khamis, 55) pujuk ayah supaya ikut serta sebagai kenangan sebelum pencen.

“Ayah jarang ke mana-mana dan dia pernah beritahu nak ternak ayam selepas pencen dan lebih banyak berada di masjid,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Ahad.

Siti Zulaikha berkata, pada awalnya dia menyangka ayahnya hanya mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

“Tidak sangka, ayah antara mangsa yang terkorban,” katanya.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Sharifah Khamis, 58, menyatakan bahawa Allahyarham Hamzah adalah seorang yang baik dan warak.

“Kebelakangan ini kami perasan, arwah bersikap pendiam dan tidak banyak bercakap seperti selalu.

“Kali terakhir saya jumpa arwah semalam (Sabtu) sebelum dia ke sekolah,” katanya.

Hamzah meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan, Siti Zulaikha dan Siti Wardah, 24.

Dalam kemalangan itu, bas persiaran yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu, terlibat dalam nahas dengan treler sebelum terbabas ke cerun dan terbalik.

Turut terkorban seorang guru SK Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48, dan pemandu bas kedua, Hadi Ashraf Mad Idris, 29.

BACA: Baru Tiga Bulan Mengajar, Guru Agama Maut Tersepit Dalam MyVi

Sumber: Sinar Harian