Salah Pemain Pertama Raih Gelaran Hatrik Pemain Terbaik PFA
MANCHESTER — Bintang Liverpool, Mohamed Salah mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik Lelaki Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) buat kali ketiga pada Selasa, lapor AFP.
Penyerang Mesir itu menjaringkan 29 gol dan mencipta 18 bantuan gol, sekali gus membantu The Reds meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris ke-20
Salah sebelum ini turut meraih anugerah yang sama tersebut pada musim 2017/18 dan 2021/22.
Lebih manis, pemain berusia 33 tahun itu juga baru-baru ini turut memenangi anugerah Pemain Terbaik Writers’ Association dan Pemain Terbaik Liga Perdana.
Sementara itu, Bintang Aston Villa, Morgan Rogers, pula dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik selepas musim cemerlang yang menyaksikan dia melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan England.
Dalam Skuad Terbaik Tahunan Liga Perdana PFA 2024/25, Salah ditemani tiga rakan sepasukan Liverpool iaitu Virgil van Dijk, Ryan Gravenberch dan Alexis Mac Allister.
Milos Kerkez, yang berpindah ke Anfield dari Bournemouth pada Jun lalu, turut tersenarai, selain tiga tonggak Arsenal, William Saliba, Gabriel Magalhaes dan Declan Rice.
Matz Sels dan Chris Wood menerima pengiktirafan atas musim gemilang mereka bersama Nottingham Forest, termasuk penyerang Newcastle, Alexander Isak, turut dipilih selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Salah dalam perebutan golden boot.
Bagi kategori wanita, pemain Arsenal, Mariona Caldentey, memenangi anugerah Pemain Terbaik selepas membantu Gunners menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.
Pemain tengah Sepanyol itu menjaringkan 19 gol dalam semua kejohanan, termasuk lapan gol dalam Liga Juara-Juara, pada musim pertamanya di England.
Pemain Muda Wanita Terbaik pula diraih oleh Olivia Smith yang baru-baru ini menyertai Caldentey di Arsenal selepas musim cemerlangnya bersama Liverpool.
Sumber: AFP via France24