saintis kesan isyarat misteri
Gambar: SciTechDaily

Saintis Lapor Kesan Isyarat Misteri Dari Galaksi Lain, Dakwa Seperti ‘Degupan Jantung’

Iqbal Yasir

Para saintis dilapor berjaya kesan isyarat misteri berulang kali yang dipercayai datang dari sebuah galaksi lain yang jauh di alam semesta, lapor The Independent.

Difahamkan, isyarat yang diterima oleh tenaga radio itu dilapor ‘berkelip-kelip’ dan ‘bercorak’ seperti degupan jantung.

“Para saintis mendakwa ia adalah letupan radio yang pantas ataupun letupan tenaga ‘misteri’ dan kuat yang datang jauh dari angkasa.

“Setakat ini, ia masih tidak difahami oleh saintis. Namun bagi mereka, apa yang peliknya adalah ia (letupan) tidak sepantas dan bertahan sehingga tiga saat berbanding milisaat fast radio burst (FRB) biasa,” memetik The Independent.

Dalam pada itu, difahamkan isyarat yang dikesan dalam bentuk berkala itu dikatakan jarang ditemui di alam semesta. Tambahan pula, ia berulang setiap 0.2 saat.

Menurut pengkaji dari Institut Kavli untuk Astrofizik dan Penyelidikan Angkasa di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Daniele Michilli, tidak banyak perkara di angkasa yang memancarkan isyarat berkala secara berulang.

“Contoh yang kita tahu dalam galaksi sendiri adalah seperti pulsar radio dan magneter yang berputar menghasilkan pancaran isyarat seakan dengan rumah api.

“Dan kami fikir isyarat terkini ini berkemungkinan magnetar atau pulsar pada steroid,” katanya, memetik Independent.

Sehubungan itu, isyarat tersebut telah diklarifikasikan sebagai FRB 20191221A yang merupakan FRB paling lama dengan corak terjelas pernah direkodkan sehingga kini.

Menurut The Independent, difahamkan pancaran tersebut dipercayai berasal dari sebuah galaksi yang berbilion tahun cahaya dari Bumi.

Ia merupakan jenis-jenis bintang neutron iaitu teras sebuah bintang gergasi yang berputar dengan pantas serta tumpat.

Sementara itu, kumpulan saintis itu berharap agar mereka dapat mengesan lebih banyak isyarat berkala seperti tersebut untuk dijadikan sumber dan digunakan dalam jam astrofizik.

Sebagai contoh, frekuensi letusan dan cara ia berubah apabila sumber bergerak dari Bumi. Perkara itu boleh digunakan untuk mengukur kadar alam semesta berubah atau mengembang.

Pengkaji menjelaskan bahawa pancaran radio yang sangat laju atau letupan tenaga yang datang dari ruang angkasa itu masih lagi menjadi misteri.

Sumber: The Independent