Seorang saintis kelahiran Malaysia, Dr Ling Felce dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menunggang basikal di persimpangan bulatan St Clement’s Street dan The Plain di Oxford pada Selasa lalu.
Mendiang dilaporkan maut di tempat kejadian selepas berlanggar dengan sebuah lori pada jam 2.35 petang waktu tempatan, lapor OxfordshireLive.
Memetik laporan BBC, seorang pemandu yang dituduh menyebabkan kematiannya telah dihadapkan ke mahkamah pada Khamis. Lelaki itu didakwa memandu secara cuai dan tiada lesen serta insurans.
Dia kini direman dalam tahanan dan akan melalui proses perbicaraan seterusnya pada 28 Mac nanti.
Sementara itu, Dr Felce dilahirkan di Malaysia pada tahun 1986 dan berpindah ke London pada tahun 1991 bersama ibu bapa dan kakaknya.
Dia seterusnya berpindah ke Oxford pada tahun 2005 untuk belajar biokimia dan menamatkan DPhil di jabatan farmakologi klinikal Universiti Oxford.
Difahamkan, mendiang memainkan peranan utama dalam penubuhan institut baharu di Universiti Oxford.
Tidak cuma itu, Dr Felce juga baru-baru ini telah meneliti butiran mengenai tindak balas imun terhadap COVID-19 dan kanser.
Dia telah berkahwin selama lapan tahun dan meninggalkan dua orang anak yang berusia tiga dan lima tahun.
“Ling adalah cahaya bagi keluarga kami dan kami amat sedih apabila dia pergi meninggalkan kami di usia yang sangat muda, dia mempunyai banyak lagi impian yang ingin dicapai untuk dirinya dan juga anak-anak.
“Saya hilang arah tanpa kehadirannya tetapi dia akan terus ‘hidup’ melalui kasih sayang yang dia berikan kepada kami,” kata suaminya, James.
Sumber: BBC, OxfordshireLive