Saintis di China mendakwa menemui virus SARS-CoV-2 dalam air mani pesakit covid-19 lelaki, biarpun mereka dalam proses pemulihan.
Menurut CNN, ujian berskala kecil ke atas seramai 38 pesakit lelaki di Hospital Perbandaran Shangqiu mendapati 16 peratus atau enam orang daripada mereka mempunyai virus di dalam air mani.
Satu perempat daripada mereka berada dalam fasa pemulihan manakala 9 peratus dalam proses pemulihan, lapor penyelidik dalam jurnal JAMA Network Open, jurnal perubatan akses terbuka diterbitkan oleh American Medical Association.
“Kami mendapati SARS-CoV-2 boleh kekal di dalam air mani pesakit COVID-19 dan ia masih boleh ditemui dalam air mani pesakit yang pulih,” tulis Diangeng Li dan rakan-rakan penyelidik dari Chinese People’s Liberation Army General Hospital di Beijing.
Menurut penyelidik, virus tidak dapat menjalankan proses replikasi di dalam sistem pembiakan lelaki. Namun, ia boleh terus berada di dalam air mani mereka kerana sistem imun tidak dapat menyerang virus di situ.
“Walaupun virus tidak boleh menjalani proses replikasi di dalam sistem reproduktif lelaki, ia mungkin kekal, kemungkinan berpunca daripada imuniti testis sebagai immune privilege site,” tulis penyelidik.
Gambar hiasan. (Kredit: CNN)Immune privilege site (immunoprivileged)
Selain otak, mata, uri, janin dan sistem saraf pusat, testis merupakan bahagian yang dikenalpasti sebagai kawasan yang mampu menyesuaikan diri dengan antigen tanpa menimbulkan respon imun (immunoprivileged).
Ini bermakna anggota ini terlindung dari inflamasi teruk yang dikaitkan dengan sistem imun. Keadaan ini dipercayai bertindak sebagai adaptasi untuk melindungi struktur penting itu.
Oleh itu, kawasan ini menjadi tempat di mana virus mungkin terlindung dari sistem imuniti perumah (pesakit).
Ketika penularan Ebola, virus ditemui dalam air mani pesakit yang telah pulih setelah lebih tiga tahun, membuatkan transmisi secara seksual boleh berlaku setelah pesakit sembuh, lapor The Conversation.
*Antigen ialah protein atau karbohidrat asing pada patogen (agen penyakit) yang berupaya merangsang penghasilan antibodi.
Aspek transmisi seksual mungkin penting dalam pencegahan
“Jika terbukti SARS-CoV-2 boleh disebarkan secara seksual dalam kajian akan datang, transmisi seksual mungkin menjadi bahagian penting dalam pencegahan penularan.
“Penahanan diri atau penggunaan kondom mungkin dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan untuk pesakit-pesakit ini. Di samping itu, terdapat keperluan untuk kajian memantau perkembangan janin.
Walaubagaimanapun, mereka menegaskan hasil kajian itu adalah dapatan awal berdasarkan sejumlah kecil pesakit lelaki. Justeru, kajian lanjut perlu dilakukan untuk menentukan jika transmisi seksual memainkan peranan dalam penularan COVID-19.
Koronavirus di bawah mikroskop elektron. (Kredit: Google)Dalam kajian lain sebelum ini di China, penyelidik mendapat hasil yang berbeza. Kajian ke atas 12 pesakit COVID-19 di negara itu mendapati kesemua sampel air mani mereka negatif virus berkenaan.
Sebelum ini, kajian mendapati virus ini boleh ditemui di dalam najis, air liur, saluran usus dan sampel air kencing pesakit.
Sumber: CNN, Straits Times, The Guardian, The Jakarta Post, South China Morning Post, The Conversation, Jurnal Kedokteran dan Kesehatan, Dewan Bahasa dan Pustaka