KOTA KINABALU, 8 Dis- Kerajaan Sabah hari ini membenarkan semua aktiviti ibadat di masjid dan surau di negeri itu mengikut syarat tertentu walaupun ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), selaras dengan cadangan Mufti Negeri.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga jurucakap khas COVID-19, berkata seluruh masjid dan surau di negeri ini dibenarkan untuk melaksanakan solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat.
“Bilangan jemaah solat lima waktu di masjid dan surau bagi seluruh zon di Sabah ialah satu pertiga daripada kapasiti dewan solat utama masjid dan surau.
“Bilangan ahli solat Jumaat pula adalah mengikut keluasan dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal. Aktiviti dan program masjid dan surau dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam seperti kuliah Maghrib, Dhuha dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Masidi berkata selain itu, aktiviti kelas agama dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Majlis akad nikah pula dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang mengikut saiz ruang majlis dengan menjaga disiplin diri dan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan seperti jamuan makan dan minum dalam bentuk bungkus sahaja yang dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 271 kes positif baharu dicatatkan hari ini menjadikan sebanyak 31,057 kes kumulatif di Sabah.
“Sebanyak 237 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 28,038 orang. Seramai 2,005 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 631 orang di hospital, 1,374 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah serta 64 di Unit Rawatan Rapi dengan 23 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya, dalam satu kenyataan pula berkata sebanyak 283,603 bakul makanan telah diagihkan penduduk di 27 daerah di negeri ini setakat hari ini.
-BERNAMA