KOTA KINABALU, 5 Mei — Kerajaan Sabah sedang bekerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan akses Internet di seluruh negeri dalam usaha memantapkan ekonomi digitalnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sehubungan itu juga kerajaan negeri akan menubuhkan unit ekonomi digital bagi memacu usaha memperkasa sektor berkenaan.
Usaha ini bertujuan meningkatkan pemasaran dalam talian yang kini menjadi sebahagian kelaziman baharu, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bekalan peralatan perubatan oleh Yayasan Osimal di sini hari ini.
“Jika ada platform ekonomi digital yang mantap, petani dan pembekal sayur-sayuran dari Kundasang, Ranau contohnya, tidak perlu lagi pergi ke Kota Kinabalu untuk memasarkan produk mereka, sebaliknya hanya menggunakan sistam dalam talian.
“Sebab itu perlu dipastikan semua kawasan di Sabah mempunyai capaian Internet,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai gesaan agar persidangan Parlimen diadakan sekurang-kurangnya selama dua minggu, beliau berkata persidangan itu adalah landasan terbaik bagi membincangkan isu COVID-19 termasuk situasi ekonomi negara dan hala tuju.
“Ini (COVID-19) perkara besar yang sedang dihadapi dan kita (ahli Parlimen) hanya bermesyuarat satu hari (sedangkan) banyak maklumat perlu diketahui oleh masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie mengambil contoh persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah selama tiga hari pada April lepas yang berlangsung di bawah prosedur operasi standard yang ketat.
Ini juga boleh dilaksanakan semasa persidangan Parlimen, katanya.
Semalam, wakil rakyat Pakatan Harapan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Warisan Sabah mengeluarkan kenyataan bersama menggesa supaya Parlimen bersidang sekurang-kurangnya dua minggu bermula 18 Mei ini bagi membolehkan perbahasan isu secara lebih mendalam.
Pada majlis hari ini, Yayasan Osimal antara lain menyumbangkan pelitup separuh muka (24,000 keping), pelitup muka (5,000 unit) dan pakaian pelindungan diri (PPE) (800 unit).
Sumber: BERNAMA