
RUU PSB: Demi Kemampanan Pembangunan, Peningkatan Kadar Urbanisasi Negara
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) merupakan agenda penting aspek kemampanan pembangunan bandar, selain dapat memenuhi keperluan migrasi berterusan serta peluasan sempadan bandar.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata Rang Undang-Undang ini amat penting untuk menampung kadar urbanisasi negara yang telah melonjak tiga kali ganda daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada 75.1 peratus setakat 2020.
“Proses urbanisasi yang pesat ini tidak akan berhenti, malah akan terus menuntut pembangunan baharu, termasuk melalui pembaharuan semula bandar untuk mengoptimumkan setiap inci tanah di negara kita.
“Sama ada kita bersedia atau tidak, proses ini tetap akan berlaku. Justeru, pembaharuan semula bandar bukan lagi sekadar pilihan, tetapi suatu tuntutan mendesak,” kata beliau dalam sesi talklimat kepada Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara hari ini.
Beliau turut menegaskan tanpa Akta PSB, peruntukan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 membolehkan tanah digunakan untuk pembangunan semula tanpa kawalan yang jelas.
PSB sebaliknya akan meletakkan garis panduan bagi melindungi pemilik tanah dan penduduk.
Pada sesi taklimat beliau turut menjelaskan beberapa perkara asas yang disalah tafsir oleh beberapa pihak, antaranya:
Setiap pemilik akan memperoleh unit baharu kediaman secara 1-1 yang lebih luas, selamat dan selesa manakala pampasan diberikan secara adil berdasarkan prinsip no less favourable.
RUU PSB tidak bercanggah dengan Perkara 153 mengenai keistimewaan bagi orang Melayu dan anak negeri bagi Sabah dan Sarawak yang melibatkan perizaban kuota sebagaimana ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
PSB hanya berkuatkuasa di kawasan bandar, dan tidak dilaksanakan di kawasan kampung.
Status tanah tidak berubah – tanah rizab Melayu kekal sebagai rizab Melayu.
RUU PSB ini tidak menyentuh atau mengurangkan keperluan perumahan sedia ada yang terdapat di Persekutuan atau Negeri.
Kawasan-kawasan yang dikenal pasti untuk pembaharuan semula bandar adalah cadangan daripada Kerajaan Negeri tanpa sebarang campur tangan Kerajaan Persekutuan.
KPKT turut mencadangkan ambang persetujuan yang tinggi iaitu 75%–80% bergantung kepada usia bangunan. Ia selepas mengambil kira amalan antarabangsa dan menegaskan bahawa pandangan para penduduk yang tidak bersetuju juga akan didengar dan dipertimbangkan, tanpa sebarang paksaan.
“Manfaat pembaharuan semula bandar telah banyak diperjelaskan termasuklah peningkatan kualiti hidup rakyat setempat melalui naik taraf kawasan yang terlibat dan penjanaan semula aktiviti ekonomi yang telah lesu atau stagnant di kawasan setempat.
“Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) merupakan langkah reformasi perundangan yang akan memperkukuhkan tatakelola, memastikan pembangunan yang mampan, berdaya tahan dan berdaya huni, sekali gus menjadi asas penting untuk mendepani cabaran pembangunan masa hadapan,” tambah beliau.
Kerajaan MADANI melalui KPKT sentiasa komited dalam memastikan setiap dasar dan pembangunan yang digerakkan bagi memelihara hak dan kepentingan rakyat dengan memastikan tiada yang terpinggir.