Gambar Via Google

Rusuhan Tercetus Di Penjara Kongo, Lebih 20 Orang Banduan Wanita Dilapor Dirogol Banduan Lelaki

Sofea

Lebih dari 20 orang banduan wanita dilaporkan telah dirogol selepas berlakunya satu rusuhan di sebuah penjara di Republik Demokratik Kongo pada September lalu.

Menurut Daily Mail, Radio France Internationale (RFI) dari Perancis yang mendedahkan kejadian itu mengatakan bahawa beberapa wanita diperkosa selama berhari-hari oleh banduan lelaki setelah pihak berkuasa penjara hilang kawalan terhadap tempat tersebut.

Rusuhan didakwa meletus di sebuah penjara di Lubumbashi pada 25 September ketika bandar itu diserang oleh kumpulan militan.

Pendakwa raya, Teddy Katumbo Lumbu berkata bahawa semua wanita yang terdiri daripada kira-kira 50 orang itu telah diperkosa.

Pegawai penyiasat juga sudah dihantar ke penjara itu.

Dari 25 wanita yang telah berkongsi kisah itu dengan pasukannya pada awal Oktober, 21 orang mengatakan bahawa mereka telah menjadi mangsa pemerkosaan dengan salah seorang dari mereka adalah di bawah umur.

“15 tahanan telah didakwa dengan tuduhan merogol, pembakaran dengan sengaja, kerosakan harta benda dan jenayah lain,”katanya.

RFI mengatakan bahawa wanita-wanita itu diperkosa selama tiga hari, beberapa daripada mereka diperkosa oleh sekitar 20 tahanan.

Perbuatan mereka itu hanya berakhir selepas pihak berkuasa kembali boleh mengawal semula penjara pada 28 September.

Penasihat khas Presiden Felix Tshisekedi mengenai keganasan seksual, Chantal Yelu Mulop mengatakan kepada stesen radio itu bahawa mangsa tidak mendapatkan bantuan perubatan, undang-undang dan psikologi.

“Seorang doktor yang pergi ke sana untuk memberi pertolongan tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk membantu mereka,” katanya.

Sumber: Daily Mail