Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menandatangani satu dikri semalam yang mewajibkan negara-negara luar membayar harga minyak dan gas yang dibeli dari negara itu dengan menggunakan matawang Rubel. Dikri berkenaan berkuat kuasa mulai hari ini.
Menurut laporan Antara News, Rusia akan menghentikan penghantaran minyak ke mana-mana negara yang enggan mematuhi syarat baharu berkenaan.
”Untuk membeli minyak dan gas Rusia, mereka perlu membuka akaun Rubel di bank-bank disini. Dari akaun inilah, pembayaran untuk penghantaran minyak dan gas akan dibuat bermula esok (Jumaat).
”Jika pembayaran tidak dibuat, kami menganggap ia sebagai satu pembatalan (gagal bayar) daripada pihak pembeli, berserta dengan tindakan-tindakan seterusnya. Tiada pihak yang menjual barang secara percuma kepada kami, maka Rusia juga tidak akan melakukan kerja amal (salur minyak secara percuma) dan kontrak sedia ada akan terbatal,” kata Putin dalam satu siaran televisyen tempatan.
Dikri yang ditandatangani itu bermakna negara-negara asing perlu memindahkan mata wang asing ke akaun Rubel yang dibuka, sebelum matawang Rubel dipindahkan semula ke negara-negara berkenaan untuk tujuan pembayaran transaksi minyak Rusia.
Keputusan Putin itu menyaksikan matawang Rubel yang jatuh ke tahap paling rendah dalam sejarah sejak 24 Februari lalu mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Menurut laporan Al-Jazeera, Eropah mengimport kira-kira 360 juta meter kubik (mcm) minyak Rusia sehari yang dihantar melalui saluran-saluran paip sepanjang beribu-beribu kilometer. Jumlah berkenaan menjadikan bekalan minyak yang dihantar Rusia untuk pasaran Eropah sahaja adalah sebanyak 140 bilion meter kubik (bcm) setahun.
Selain itu, Eropah juga memerlukan import tambahan produk LNG daripada Rusia yang berjumlah 15 bcm. Ini menjadikan Rusia adalah pembekal kira-kira 45 peratus keperluan minyak Eropah.
Dengan angka-angka ini dan kebergantungan negara-negara Eropah kepada produk minyaknya, ia dilihat sebagai ‘senjata’ ampuh untuk Putin bertindak balas dengan sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas negaranya ketika ini.
Pemimpin-pemimpin Eropah menyelar tindakan tersebut yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap kontrak sedia ada. Sebelum ini, transaksi pembayaran perlu dibuat dalam mata wang Dolar dan Euro. Perancis dan Jerman berkata, keputusan baharu ini boleh menjerumuskan Eropah ke dalam krisis tenaga yang luar biasa.
Bagaimanapun Rusia menegaskan bahawa keputusan baharu ini bertujuan untuk memelihara kedaulatan negaranya, dan ketetapan baharu ini terpakai kepada semua kontrak yang ada.
BACA: “Sila Naik ‘Penyapu’ Kalau Nak Ke Angkasa,” Rusia Henti Jual Enjin Roket Ke Amerika
Sumber: Antara News, Al-Jazeera