Berdepan dengan pelbagai sekatan daripada Amerika Syarikat dan negara-negara barat, Rusia baru-baru ini dilapor bersedia menerima Bitcoin sebagai medium transaksi jual beli minyak dengan negaranya.
Dalam satu rakaman, Pengerusi Jawatankuasa Duma yang mengawal selia industri tenaga Rusia, Pavel Zavalny berkata, apabila melakukan perniagaan dengan negara yang dianggap sahabat seperti China, negara itu bersedia untuk menerima opsyen pembayaran yang lebih fleksibel.
Katanya lagi, matawang sesuatu negara, (misalnya China Yuan), termasuklah Bitcoin, akan dipertimbangkan sebagai alternatif pembayaran kepada produk-produk tenaga yang dieksport dari Rusia.
”Kami sudah sekian lama mencadangkan kepada China agar mengutamakan bayaran dalam matawang nasional antara kami, iaitu Rubles dan Yuan. Manakala dengan Turki, menggunakan matawang Lira dan Rubles.
”Anda juga boleh menggunakan Bitcoin,” katanya.
Susulan kenyataan dibuat Zavalny, nilai matawang Bitcoin dilapor meningkat sebanyak 4 peratus dalam tempoh 24 jam. Malah, nilai matawang-matawang kripto yang lain juga dilapor turut meningkat dalam tempoh yang sama.
Selain itu, Zavalny turut mengulangi kenyataan yang dibuat oleh Putin sebelum ini yang menyebut bahawa negara-negara yang dianggap sebagai tidak mesra dengan Rusia, perlu membayar produk-produk petroleum yang dieksport dari negara itu dalam matawang Rubles.
”Jika mereka mahu membeli minyak dari kami, mereka perlu membayar dalam matawang yang ditetapkan, bagi kami ia adalah emas. Ataupun bayar menggunakan matawang yang menyenangkan kami, iaitu matawang nasional Rusia,” katanya.
Kenyataan yang dibuat oleh Putin sebelum ini menyaksikan harga minyak di negara-negara Eropah terus meningkat. Ia sekali gus menambahkan lagi tekanan kepada harga minyak semasa di rantau tersebut.
Tinggalkan Dollar
Walaupun Amerika Syarikat sudah pun mengumumkan bahawa negara itu akan menyekat import produk petroleum dari Rusia, namun pemerhati melihat langkah yang sama mungkin sukar untuk diambil oleh negara-negara Eropah. Ini memandangkan rantau itu sangat bergantung dengan produk minyak dan gas yang dikeluarkan oleh Rusia.
Tindakan Rusia yang mahu mempelbagaikan kaedah pembayaran dan menjauhkan diri daripada penggunaan Dollar dalam urus niaga antarabangsanya bukanlah perkara baharu. Ini memandangkan sudah ada usaha tersebut sejak 2014 lagi.
Namun, dengan krisisnya dengan Ukraine dan tindakan sekatan yang dikenakan terhadapnya, Rusia kini dilapor benar-benar serius dengan idea tersebut.
Sumber: CNBC