Beberapa media antarabangsa melaporkan bahawa Amerika Syarikat dan Rusia mula membawa keluar staf diplomat masing-masing dari Ukraine.
Menurut laporan Wall Street Journal, Amerika Syarikat bertindak sedemikian berdasarkan kebimbangan bahawa Rusia mungkin menyerang negara berkenaan pada bila-bila masa.
Manakala dalam laporan Financial Times pula, Amerika Syarikat bagaimanpun akan meninggalkan satu kumpulan kecil yang tak dinyatakan yang akan bertindak melancarkan komunikasi antara negara tersebut dengan kerajaan Ukraine.
Beberapa pemimpin Eropah juga dilapor telah menghubungi Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi memujuknya agar mengendurkan ketegangan di sempadan Rusia-Ukraine dan menarik balik angkatan tentera yang ditempatkan di kawasan tersebut.
Malah, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden turut dilaporkan telah menghubungi Putin dipercayai bagi membincangkan perkara yang sama.
Selain itu, Financial Times juga melaporkan bahawa United Kingdom turut memanggil pulang penasihat ketenteraan yang dihantar ke Ukraine sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan beberapa negara Eropah termasuk Jerman dan Britain sudah mengeluarkan amaran perjalanan ke Ukraine dan meminta rakyatnya yang masih ada di negara itu agar keluar dengan sekadar segera.
Al-Jazeera dalam laporannya pula melaporkan Rusia mengatakan bahawa pihaknya mengesan dan menghalau sebuah kapal selam asing yang didakwa milik Amerika Syarikat kerana menceroboh perairan negaranya di wilayah Pasifik.
Sumber: Wall Street Journal, Financial Times, Al-Jazeera