rumah menteri nepal wang
Gambar: X

Rumah Menteri Tenaga Nepal Dibakar, Wang Kertas “Jatuh” Dari Langit

Iqbal Yasir

Rumah Menteri Tenaga Nepal Dibakar, Wang Kertas “Jatuh” Dari Langit

KATHMANDU — Gelombang protes di Nepal semakin memuncak dengan kediaman Menteri Tenaga, Deepak Khadka pula menjadi sasaran oleh penunjuk perasaan apabila dibakar, lapor News18.

Dalam klip tular di media sosial memaparkan wang kertas berterbangan di sekitar jalanan kediaman ahli politik itu.

Keadaan itu turut mencetuskan suasana huru-hara dengan orang ramai dilihat berpusu-pusu cuba untuk mendapatkan wang tersebut.

Difahamkan, protes ini semakin memuncak selepas Perdana Menteri KP Sharma Oli menarik balik larangan media sosial, yang menjadi pencetus utama kepada demonstrasi besar-besaran di seluruh negara.

Selain kediaman Deepak Khadka, beberapa rumah mentari lain turut diserang oleh penunjuk perasaan antaranya Presiden Nepal, Ram Chandra Poudel, Menteri Komunikasi Prithvi Subba Gurung dan bekas Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal.

Sebelum ini, bangunan Parlimen Nepal dilaporkan dibakar penunjuk perasaan pada hari ini, sehari selepas Sharma Oli meletakkan jawatan susulan gelombang protes anti-rasuah terbesar dalam tempoh beberapa dekad.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas 19 penunjuk perasaan dilaporkan terkorban dalam pertembungan dengan polis pada Isnin.

Namun, keadaan semakin parah apabila orang ramai bertindak menyerang bangunan kerajaan serta kediaman pemimpin politik di seluruh negara.

Di Kathmandu, video tular memaparkan kepulan asap hitam memenuhi langit apabila parlimen dibakar.

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di sekitar bangunan berkenaan, sebahagiannya menari, melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Nepal.

Ada yang memasuki bangunan, memecahkan tingkap serta menconteng dinding dengan mesej anti-kerajaan.

Tiga lagi kematian dilaporkan, 900 banduan larikan diri

Selain itu, tiga lagi kematian dilaporkan pada Selasa. Dalam kekacauan tersebut, pihak berkuasa penjara mengesahkan seramai 900 banduan berjaya melarikan diri dari dua penjara di barat Nepal.

Menurut Ketua Tentera Nepal, penunjuk perasaan didakwa mengambil kesempatan untuk merosakkan harta awam dan swasta.

Beliau memberi amaran bahawa semua pasukan keselamatan, termasuk tentera, bersedia mengambil alih kawalan sekiranya keadaan tidak reda.

Protes bermula selepas kerajaan mengenakan larangan terhadap 26 platform media sosial termasuk Facebook dan Instagram, dengan alasan membendung berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan dalam talian.

Walaupun larangan itu ditarik balik pada malam Isnin, kemarahan rakyat, terutamanya golongan muda, sudah pun memuncak.

Sumber: News18

BACA: Isteri Bekas PM Nepal Maut, Rumah Dibakar Penunjuk Perasaan