
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) — Sebuah rumah kongsi tapak pembinaan di Jalan Batu View Kampung Selayang Lama di sini musnah dalam kebakaran malam ini yang menyebabkan tiga lelaki warga Bangladesh melecur sebanyak 50 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7 malam dan menghantar 15 jentera serta 60 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dengan dibantu BBP Gombak Selatan, BBP Wangsa Maju dan BBP Hang Tuah.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada 7.14 malam, keadaan asap sangat tebal dan api sangat marak dalam kebakaran melibatkan rumah kongsi berkeluasan 20 kali 100 kaki persegi itu,” katanya.
Beliau berkata kerja memadam dan mengawal api daripada merebak berjaya dilakukan pada 7.58 malam dan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya punca kebakaran masih dalam siasatan.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata satu maklumat beserta gambar yang tular mengatakan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur terbakar adalah tidak benar.
Beliau berkata kebakaran itu melibatkan sampah sarap namun dapat dikawal oleh pasukan bomba yang dikerah ke lokasi kejadian malam ini dan insiden tersebut tidak membabitkan sebarang kecederaan.
— BERNAMA