KOTA KINABALU, 18 Ogos 2025 –Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam agenda keselamatan teknologi sinaran di peringkat serantau menerusi Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 (RPCW 2025) yang dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini.
Edisi ke-28 persidangan ini membawa tema “Global Energy Security Through Radiation Safety: Balancing Growth and Protection”, yang menekankan bahawa keselamatan sinaran merupakan asas utama bagi menjamin kelestarian dan daya tahan tenaga global.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa keselamatan sinaran bukan sekadar pilihan, sebaliknya satu keperluan asas dalam semua aplikasi teknologi nuklear, sama ada dalam sektor perubatan, industri, penyelidikan atau keselamatan. “Radiation safety is not optional, it is essential,” tegas beliau.
Tema RPCW 2025 ini turut selari dengan aspirasi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi termasuk sektor tenaga dan air. Seiring dengan pertimbangan kerajaan terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat untuk memenuhi keperluan masa depan, aspek keselamatan sinaran kekal menjadi keutamaan.

Malaysia komited mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan keselamatan demi masa depan negara serta kesejahteraan generasi akan datang.
Persidangan ini berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada pengamal sinaran industri, penggubal dasar, ahli akademik dan profesional teknikal. Sepanjang penganjuran, ia menampilkan 19 pembentangan kertas kerja teknikal, sesi forum, bengkel, lawatan teknikal serta pameran teknologi berkaitan keselamatan sinaran.
Kejayaan penganjuran ini adalah hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) dengan sokongan Jabatan Tenaga Atom. Menurut Laporan Atom Malaysia 2023, negara merekodkan lebih 31,000 pekerja sinaran dan hampir 2,000 lesen aktif tanpa sebarang insiden radiologi dan pencapaian ini mencerminkan tahap kecekapan kawal selia dan profesionalisme industri di Malaysia.
Sumbangan pekerja sinaran turut memberi nilai ekonomi melalui sokongan kepada ekosistem perubatan bernilai tinggi serta memperkukuh sektor minyak dan gas menerusi ujian tanpa musnah (NDT) yang menjamin kualiti, mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan daya saing industri.
Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan peranan penting Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO) dan Orang Bertanggungjawab Terhadap Lesen (OBTL) sebagai tonggak pelaksanaan keselamatan di peringkat operasi. Beliau menyeru agar kumpulan ini terus diberikan sokongan latihan dan pengiktirafan sewajarnya.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bertekad memacu kerjasama serantau dalam keselamatan sinaran, pengurusan bahan radioaktif dan kesiapsiagaan kecemasan nuklear melalui platform seperti ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM), ASEAN Nuclear Power Safety Research (ASEAN NPSR) dan ASEAN Nuclear Leaders for Energy Transition (ANLET) dan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030).
“Tahun ini adalah masa terbaik untuk Malaysia menunjukkan kepimpinan dalam pembangunan teknologi nuklear aman yang selamat dan bertanggungjawab di peringkat serantau,” ujar beliau. MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom kekal komited memperkukuh tenaga mahir menerusi kerjasama erat antara industri dan institusi pendidikan serta Latihan bagi memastikan penggunaan teknologi sinaran di Malaysia sentiasa selamat, beretika dan lestari.
RPCW 2025 diharapkan menjadi pemangkin kepada inisiatif baharu, penemuan saintifik dan kerjasama strategik sekali gus memperkukuh pemahaman, kemahiran dan jaringan antara pengamal sinaran dan pembuat dasar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh rantau ASEAN.