Bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney menjelaskan kepada Erik Ten Hag supaya tidak menurunkan Cristiano Ronaldo dalam perlawanan menentang Liverpool awal pagi nanti, lapor Daily Mail.
Penjaring gol terbanyak United sepanjang zaman itu menggesa The Red Devils untuk tidak memainkan bekas rakan sepasukannya tersebut bagi memastikan skuad Ten Hag kekal bertenaga di atas padang.
“Saya tidak akan menurunkan Cristiano Ronaldo dan Marcus Rashford.
“Jika saya berada di tempat Ten Hag, kebimbangan utama saya ialah mendapatkan tenaga di atas padang dan kegagalan United mendapatkan pemain nombor sembilan menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada Ronaldo sewaktu menentang Brentford walaupun pemain itu tidak banyak berlatih bersama pasukan.
“Dia kelihatan memerlukan masa untuk kembali cergas manakala Ten Hag memerlukan tenaga dari pasukannya dan ia bermakna Ronaldo perlu digugurkan,” kata Rooney.
Gambar: The Bleacher ReportTambahan pula, Rooney menyifatkan kekalahan 0-4 terhadap Brentford sesuatu yang sukar untuk ditonton dan dia tidak pernah melihat United sangat lemah dalam kekurangan kualiti asas.
“Bola sepak telah berkembang secara taktikal dan teknikal sewaktu saya masih bermain dan asasnya juga tidak berubah.
“Sekiranya pemain tidak berlari dan berusaha, mereka akan kalah kepada mana-mana pasukan. Saya tidak pernah melihat Manchester United begitu kurang dalam kualiti asas itu.
“Jika perkara ini berlaku sewaktu saya bermain untuk United, saya fikir peminat, wartawan dan setiap pasukan lain di negara pasti terkejut namun tidak kepada United sekarang.
“Perkara paling merisaukan saya adalah keputusan dan prestasi yang tidak memberangsangkan saya,” maklumnya.
Gambar: Ace Football via GoogleWayne Rooney telah memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris itu ketika bersama Manchester United. Kali terakhir beliau memenangi kejuaraan liga itu adalah pada 2013.
Sejak dari itu, United tidak pernah memegang kembali gelaran juara liga tersebut.
Terdahulu, The Red Devils membuka kempen liga musim 2022/23 dengan dua kekalahan terhadap Brighton 1-2 dan Brentford 0-4.
Oleh itu, anak buah Ten Hag kini berada di kedudukan tercorot liga. United dijangka bakal menerima kunjungan Liverpool dalam pusingan ketiga liga di Old Trafford menjelang awal pagi nanti.
Sumber: Daily Mail