
RON97, Diesel Di Semenanjung Naik 2 Sen
PUTRAJAYA — Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia naik dua sen iaitu masing-masing ditetapkan pada RM3.18 dan RM2.90 seliter bagi tempoh 11 hingga 17 September 2025 ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 kekal RM2.05 seliter manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada RM2.15 seliter.
MOF menjelaskan penetapan kadar itu berdasarkan harga runcit produk petroleum mingguan yang menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Kerajaan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaraskan harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dunia, serta menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOF kerajaan juga akan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sumber: Kementerian Kewangan