
RON95 Tanpa Subsidi, RON97 Naik 3 Sen Seliter
PUTRAJAYA — Harga runcit bagi petrol RON95 tanpa subsidi dan RON97 dinaikkan sebanyak 3 sen seliter berkuat kuasa bagi tempoh 4 Disember 2025 hingga 10 Disember 2025.
Kementerian Kewangan Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa kenaikan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi adalah pada RM2.66 sen seliter dan RON97 pada RM 3.29 seliter.
Dalam pada itu, RON95 yang bersubsidi di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.
Manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak pula masing-masing kekal pada RM2.15 dan RM3.08 seliter.
Harga baharu itu ditetapkan seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.
“Kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kementerian itu.
Sumber: Kementerian Kewangan