
Rohani & Jasmani Seiring, Imam Kerah Jemaah “Push-Up” Lepas Tarawih
Umum bersetuju, kawasan rekreasi dan aktiviti sukan agak sunyi apabila masuknya bulan Ramadan kecuali taman permainan kanak-kanak. Sudahlah letih menahan lapar dan dahaga di siang hari, malam pula diluangkan dengan menunaikan solat sunat tarawih yang hanya didirikan pada bulan ini sahaja.
Dengan penambahan dua amalan ini sahaja sudah cukup membuatkan badan rasa layu di penghujung hari. Katil dan bantal memanggil tatkala pulang dari berjemaah. Namun, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya tidak menjadikan perkara ini sebagai alasan kurang bersenam dan menyebabkan kita semakin lemah sepanjang bulan mulia ini.
Disebabkan itu, seorang imam yang mengetuai solat tarawih di Pusat Masyarakat Islam Baltimore ‘mengerah’ jemaah untuk lakukan senaman tekan tubi (push-up) selepas menunaikan solat tarawih.
“Imam Tekan Tubi kembali lagi, masyaAllah. Tahniah buat mereka yang buat senaman hingga ke akhirnya,” nukil pengendali laman TikTok organisasi tersebut.
Video yang kini mendapat 1.8 juta tontonan dan 116 ribu perkongsian itu menunjukkan beberapa orang jemaah lelaki dari pelbagai usia turut serta melakukan senaman tersebut. Ada yang berhenti di pertengahan jalan untuk berehat seketika dan minum air, ada juga yang terus keluar dari ‘saf’ senaman.
BACA: Ini Senarai Lokasi Bazar Ramadan Rahmah 2025
Bagi memberi peluang jemaah merehatkan diri, senaman tersebut diselangi dengan bacaan zikir.
“Imam minta semua orang berzikir antara ulangan senaman (reps). Kemudian setiap kali sebelum mulakan ulangan, Imam berikan bilangan yang berbeza untuk jemaah lakukan tekan tubi,” katanya lagi.
Biarpun ada yang sudah terbaring dan sukar untuk mengangkat badan, para jemaah tetap cekal melakukan tekan tubi apabila melihat Imam tersebut masih meneruskan senaman itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terhibur dan ada juga yang menyokong padu tindakan imam tersebut.
“Keimanan dan kecergasan (Faith and fitness),” sokong seorang warga maya.
“50% tarawih dan 50% latihan ketenteraan,” seloroh warga maya.
“Diorang ingat pergi tarawih je, rupanya kena masuk latihan ketenteraan sekali,” usik seorang lagi.
BACA: Berkejaran Balik, Gelagat Anak-Anak Bantu Bapa Ketika Pulang Dipuji Ramai
Sumber: Pusat Masyarakat Islam Baltimore