
Gaji RM5K–RM10K Pun Susah Nak Simpan Duit, Kajian Dedah Rakyat Malaysia Semakin Tenat. Walaupun ramai rakyat Malaysia gaji rendah makin bijak urus kewangan, golongan berpendapatan sederhana pula semakin tertekan. Itu antara dapatan utama kajian RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) 2025 yang baru diumumkan. Kajian ini melibatkan lebih 3,000 responden seluruh negara dan hasilnya memang campur aduk – ada berita baik, tapi juga tanda-tanda membimbangkan.
Orang gaji rendah makin pandai urus duit
Bagi mereka yang berpendapatan bawah RM2,000, 55% kini dah mula fikir pasal simpanan persaraan. Tahun lepas cuma 48%. Malah, makin ramai yang kenal tentang skor kredit dan tahu pentingnya untuk masa depan. Menariknya, 36% kumpulan ni pilih untuk elak guna servis Buy Now, Pay Later (BNPL) – tanda mereka lebih berhati-hati berhutang.
Golongan sederhana makin terhimpit
Lain pula cerita untuk yang gaji RM5,000–RM10,000. Golongan ni jadi satu-satunya kumpulan yang kadar simpanan makin merosot. Hanya 23% mampu simpan RM1,001–RM1,500 sebulan (tahun lepas 29%). 39% cuma mampu simpan bawah RM500 (naik daripada 31% tahun lepas). Ramai terpaksa potong belanja hiburan, makan luar & langganan. Walaupun ada subsidi dan sokongan, keyakinan mereka tentang kewangan makin pudar. Tahun lepas 58% kata hidup makin baik, tapi tahun ini turun kepada 54%.
Gen Z makin rajin menabung
Dalam masa sama, anak muda terutama Gen Z tunjukkan trend positif. 40% Gen Z sekarang simpan lebih RM500 sebulan, naik daripada 36% tahun lepas. Yang tak simpan langsung pun makin berkurang – tinggal 11% je. Mereka juga makin aktif guna aplikasi bajet, AI robo advisor dan chatbot kewangan untuk kawal duit.
Kos insurans makin perit
Satu lagi cabaran besar: insurans. Dalam tempoh setahun lepas, 22% pemegang polisi terpaksa downgrade atau batalkan perlindungan sebab kos makin mahal. Lebih 40% rakyat Malaysia langsung tak ada insurans perubatan, dan kurang separuh (48%) je ada insurans hayat atau takaful.

Media sosial jadi cikgu kewangan
Menariknya, rakyat Malaysia sekarang banyak belajar tentang duit melalui media sosial. 68% guna TikTok, Instagram dan Facebook untuk tambah ilmu kewangan. Kesedaran pasal simpanan persaraan pun meningkat – 64% dah mula rancang, berbanding 60% tahun lepas.
CEO RinggitPlus beri amaran
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew, kata walaupun ada berita baik untuk golongan berpendapatan rendah dan Gen Z, golongan sederhana makin lemah daya tahan kewangan. “Golongan sederhana ni kerja keras tapi bajet makin ketat, simpanan makin kurang. Kalau Malaysia nak maju, kita kena pastikan mereka ada peluang dan alat yang betul untuk kukuhkan kewangan,” katanya.
Kajian ini disokong oleh Financial Education Network (FEN) bersama rakan kerjasama seperti KAF Digital Bank, CIMB Foundation dan Experian.
👉 Nak tahu lebih lanjut pasal RMFLS 2025, boleh tengok terus kat laman web rasmi atau media sosial RinggitPlus.