KUALA LUMPUR, 6 Nov – Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk menghapus faedah hutan kebun peneroka FELDA, umum Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Jelasnya, program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu turut bakal dilaksanakan kerajaan.
“Selain itu, RM1.7 bilion disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan.
“Antaranya subsidi harga padi sebanyak RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi berjumlah RM960 juta termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta.
“Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 300 ribu pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak,” katanya dalam sidang pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.
Dalam pada itu, elaun sara hidup nelayan juga turut dinaikkan daripada RM250 ke RM300 sebulan bermula tahun depan, melibatkan kira-kira lebih 40,000 nelayan di seluruh negara dengan kos peruntukan sebanyak RM151 juta.
“(Sementara itu) bagi membantu pekebun kecil getah dalam keadaan harga pasaran rendah, peruntukan bagi Insentif Pengeluaran Getah akan ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta.
“Dengan kenaikan ini, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian akan distabilkan,” katanya lagi.
Sumber: Kementerian Kewangan