RM3.3 Bilion Dipulangkan, Timbunan Wang Kes Rasuah Minyak Sawit Dipamer
Indonesia secara rasmi telah mendapat wang rampasan dalam kes jenayah rasuah melibatkan Penyediaan Kemudahan Eksport Minyak Kelapa Sawit Mentah (CPO) bernilai Rp 13.25 trilion (RM3.3 bilion) pada Isnin.
Penyerahan wang tu dilakukan secara simbolik oleh Peguam Negara di Bangunan Utama Kompleks Kejaksaan Negeri Jakarta.
Ia turut dihadiri Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan beberapa anggota kabinet termasuk Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa.
Majlis penyerahan itu mencuri tumpuan kerana dapat dilihat timbunan wang yang diletakkan di situ. Bagaimanapun, tidak semua wang diletakkan kerana ruang yang tidak mencukupi.
Kredit: CNBC IndonesiaMemetik laporan CNBC Indonesia, daripada jumlah itu, Wilmar Group telah membayar jumlah kerugian terbesar iaitu sebanyak Rp 11.88 trilion.
Sementara itu, Musim Mas pula membayar Rp1.18 trilion dan Kumpulan Permata Rp 186.43 bilion.
Untuk rekod, Wilmar, Musim Mas dan Kumpulan Permata telah terbabit dalam kes rasuah membabitkan minyak sawit mentah (MSM) dan kemudahan eksport derivatifnya. Ketiga-tiga syarikat itu didapati bersalah.
“Defendan Wilmar Group mempunyai jumlah keseluruhan Rp 11.88 trilion, Permata Hijau Group Rp 186 bilion dan Musim Mas Rp 1.8 trilion. Perbezaan bayaran adalah Rp 4.4 trilion, yang akan dibayar secara tertunda dan bayaran ansuran,” kata Peguam Negara, ST Burhannudin.
Burhanuddin juga meminta syarikat-syarikat ini segera memulangkan baki bayaran.
“Tetapi kami juga meminta mereka menepati masa. Kami tidak mahu perkara ini berlarutan dan menghalang kami daripada memulihkan kerugian kami serta-merta,” ujarnya.
Pejabat Peguam Negara kini menumpukan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah yang menyebabkan kerugian kepada kewangan dan ekonomi negara, khususnya dalam sektor yang mementingkan maruah rakyat.
Kredit: CNBC Indonesia“Kami telah mengambil tindakan terhadap rasuah dalam sektor pembuatn garam, gula dan keluli, ia melibatkan maruah rakyat dan kami akan mengutamkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Prabowo berkata beliau akan menggunakan wang yang dirampas oleh Pejabat Peguam Negara itu untuk mengubah suai sekolah dan perkampungan nelayan.
“Dengan Rp 13 trilion ini, kita boleh baiki dan ubah suai lebih 8,000 sekolah. Jika kita bajet Rp 22 bilion untuk satu kampung nelayan, dengan kemudahan yang tidak pernah disedari atau dijaga selama 80 tahun kewujudan Republik Indonesia,” katanya.
Sumber: CNBC Indonesia