Rizab Antarabangsa BNM Meningkat Kepada US$123.6 Bilion Pada 30 September
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$123.6 bilion pada 30 September, 2025 daripada US$122.7 bilion pada 29 Ogos, 2025.
Dalam kenyataan pada Selasa, bank pusat menjelaskan paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa itu meliputi rizab mata wang asing (US$109.3 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.9 bilion), emas (US$4.8 bilion) dan aset rizab lain (US$2.3 bilion).
Jumlah aset sebanyak RM625.06 bilion, merangkumi emas dan pertukaran asing, dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM520.90 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM13.42 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.41 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM27.81 bilion), tanah dan bangunan (RM4.57 bilion) serta aset-aset lain (RM56.93 billion).
Menurut BNM modal dan liabiliti beijumlah RM625.06 bilion, meliputi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM200.90 bilion), mata wang dalam edaran (RM172.05 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM133.00 bilion), deposit oleh Kerajaan Persekutuan (RM11.68 bilion), deposit lain-lain (RM65.51 bilion), Kertas Bank Negara (RM8.36 bilion), peruntukan SDR (RM27.87 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM5.56 bilion).
Sumber: Bernama