RIUH X ASEAN 2025 Angkat Malaysia Sebagai Pentas Kreatif Terbesar Asia Tenggara
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2025 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures bakal menganjurkan RIUH x ASEAN 2025, acara kreatif terbesar di Asia Tenggara bermula 17 hingga 26 Oktober 2025.
Inisiatif berskala besar ini bukan sahaja membuka ruang kerjasama rentas negara yang menjana peluang baharu dalam komuniti kreatif dan usahawan serantau, malahan menghimpunkan elemen seni, kreativiti, muzik dan keusahawanan dari Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN, bertepatan dengan visi ASEAN 2025 yang menekankan perpaduan, keterangkuman dan kelestarian.
Salah satu komponen utama, RIUH x ASEAN Marketplace akan diadakan bermula 22 hingga 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur yang membawakan lebih 200 jenama dan 100 vendor makanan dan minuman dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Turut serta, lebih 40 persembahan pentas, 30 bengkel interaktif dan 20 pengaktifan kreatif iaitu platform sesi jaringan industri para usahawan dan penggiat kreatif dari pelbagai negara. Penyertaan kepada pengusaha jenama tempatan akan dibuka bermula 1 September 2025 hingga 1 Oktober 2025.
Selain itu, aktiviti pop-up “RIUH Gallery” bermula 1 Oktober 2025 (tertakluk kepada tarikh-tarikh khusus yang akan diumumkan) di lokasi strategik sekitar Lembah Klang merangkumi persembahan muzik indie, komedi, sesi sastera, puisi (spoken word) serta pameran seni visual. Inisiatif ini memberi ruang kepada bakat tempatan untuk berkarya dan berinteraksi dengan khalayak.
Turut diperkenalkan FrequenSEA, persidangan muzik ASEAN julung-julung kalinya diadakan pada 21 dan 22 Oktober 2025 di Kuala Lumpur. Persidangan percuma dan terbuka untuk orang ramai ini menyasarkan lebih 200 peserta termasuk pemuzik, penerbit, pencipta kandungan dan pemimpin industri bagi membincangkan masa depan industri muzik Asia Tenggara.
Maklumat lanjut mengenai RIUH x ASEAN boleh didapati di https://baskl.com.my/ serta Instagram dan Facebook @riuhinthecity dan @mycreativeventures.