Ribuan Warga Sumanep ‘Diserang’ Campak, Ragut 17 Nyawa
Sebanyak 17 penduduk Sumenep, Jawa Timur dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan campak dalam tempoh Februari hingga Ogos 2025, lapor Liputan6.
Kementerian Kesihatan Indonesia (Kemenkes) memaklumkan sebanyak 2,035 orang dilaporkan dijangkiti dan kini telah merebak ke 26 kecamatan di daerah itu.
Susulan itu, kementerian itu mengambil tindakan segara dengan menjalankan siasatan dan pemeriksaan epidemiologi.
Ketua Biro Komunikasi dan Informasi Awam Kemenkes, Aji Muhawarman berkata, hasil siasatan awal mendapati majoriti mangsa yang meninggal tidak pernah menerima imunisasi campak.
“Terdapat 17 kes kematian dengan majoritinya tidak mempunyai rekod imunisasi,” katanya kepada Liputan6 hari ini.
Tambahnya, pencegahan wabak itu boleh dilakukan melalui proses imunisasi menggunakan vaksin MR (campak-rubella) atau MMR (campak-gondongan-rubella) bagi merangsang tubuh membentuk antibodi pelindung.
Kemenkas kini telah berkerjasama dengan Dinas Kesehatan (Dinkes) Sumenep, Dinkes Jawa Timur dan beberapa organisasi lain untuk langkah kawalan bersama.
Ia termasuk penyelidikan epidemiologi dan memastikan ketersediaan vaksin bagi pelaksanaan Outbreak Response Immunization (ORI) atau imunisasi respons wabak.
“Kami juga menghantar pasukan untuk mencari punca penularan, mengenal pasti kontak rapat, serta membantu Dinkes menjalankan kajian pantas menentukan sasaran ORI,” kata Aji.
Dalam masa sama, Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa turut mengisytiharkan wabak ini sebagai Kejadian Luar Biasa (KLB) di Kabupaten Sumenep.
Untuk makluman, wabak campak adalah salah satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Paramyxoviridae.
Lazimnya, wabak ini menyerang kanak-kanak. Meskipun sudah wujud vaksinasi yang berkesan, wabak ini masih menjadi ancaman kesihatan di pelbagai negara, termasuk Indonesia.
Sumber: Liputan6 (1), (2)