GEORGE TOWN, 31 Dis (Bernama) — Ribuan pengunjung mengambil peluang mengabadikan kenangan menaiki feri ikonik Pulau Pinang buat kali terakhir sebelum perkhidmatan itu ditamatkan hari ini.
Kedua-dua terminal iaitu Pangkalan Raja Tun Uda di sini dan Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, dibanjiri deretan kenderaan dan orang ramai yang beratur panjang sejak pukul 8.00 pagi kerana mahu menjadi penumpang terawal bagi mengelak kesesakan.
Seorang guru dari Perak, Mohd Kamarul Arif, 33, berkata beliau dan keluarganya memilih untuk bercuti di Pulau Pinang hanya kerana ingin menaiki feri berkenaan dan tidak kisah menunggu hampir sejam kerana kesesakan luar biasa hari ini.
”Saya mahu isteri dan anak perempuan saya yang berusia lapan tahun mengabadikan kenangan menaiki feri ini kerana anak saya tidak pernah menaiki feri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu anak jati Pulau Pinang, Soon Yong Khoon, 40, berkata dia mengambil cuti semata-mata untuk membawa isteri, anak lelaki dan ibunya menaiki feri ikonik negeri.
Yong yang berkerja sebagai ejen insurans berkata, meskipun sering berulang-alik menggunakan feri sebelum ini, namun pengalaman terakhir itu disifatkan berbeza dan istimewa selain akan dikenang sepanjang hayatnya.
“Sebagai anak jati Pulau Pinang, sudah semestinya saya sedih kerana feri ikonik ini adalah warisan negeri dan saya berharap ia dapat dikembalikan semula satu hari nanti,” katanya.
Bermula esok, perkhidmatan feri sedia ada hanya boleh digunakan oleh penunggang basikal dan motosikal manakala bot laju akan digunakan untuk membawa penumpang individu.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Jan, diikuti dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) yang akan beroperasi mulai 2022.
Pada 17 Dis lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada 2021 dan 2022.
— BERNAMA