
Diibaratkan seperti durian runtuh, seorang warga emas di Terengganu bersyukur menerima bayaran balik elaun arwah suaminya sebanyak RM64,175 yang pernah tertunggak selama beberapa tahun, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, suami kepada warga emas bernama Ngah Osman, 74, iaitu Allahyarham Ismail Abas pernah berkhidmat sebagai bilal di Masjid Kampung Kolam, Kuala Ibai selama 13 tahun.
Ngah yang ditemui pemberita meluahkan rasa terharu dan bersyukur kerana beliau tidak menyangka akan menerima wang sebanyak itu, malah berazam akan memanfaatnya sebaik mungkin.
“Wang yang saya terima ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan kami sekeluarga berhasrat tunaikan umrah,” katanya kepada pemberita Sinar Harian.
Difahamkan, ibu tunggal kepada empat anak itu memaklumkan bahawa arwah suaminya meninggal dunia sebelum ini akibat komplikasi penyakit.
Menurut Ngah, bermula usia 40 tahun, arwah sudah mula berkhidmat di masjid berkenaan, namun seingatnya bayaran elaun tersebut hanya dibayar semasa arwah mula bertugas.

“Seingat saya lama juga arwah tidak terima bayaran elaun. Mujurlah ketika itu dia masih ada pendapatan lain.
“Kerja sebagai bilal masjid ini dilakukan secara sampingan kerana arwah suami saya turut melakukan pekerjaan sebagai nelayan,” katanya lagi.
Ngah mendedahkan kisah sedemikian ketika ditemui pemberita Sinar Harian semasa menghadiri majlis penyerahan elaun tunggakan imam dan bilal masjid di Wisma Darul Iman pada semalam bersama adiknya, Rosnidawati Ismail, 48.
Difahamkan, penyerahan bayaran tertunggak itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada 12 penerima yang melibatkan peruntukan berjumlah RM242,925.
Melalui peruntukan tersebut, kesemua bayaran elaun kepada 54 imam dan bilal yang tertunggak sejak 2005 dahulu hingga 2018 dengan jumlah lebih RM3 juta sudah berjaya dilunaskan kerajaan negeri.
Dalam masa sama, sebanyak 509 buah masjid turut menerima peruntukan kerajaan negeri Terengganu bagi melantik beberapa imam dan bilal di setiap masjid untuk memastikan urusan berjalan lancar.
Sumber: Sinar Harian