Resipi kerabu pucuk paku
Kredit: K.Seetee

Resipi Kerabu Pucuk Paku, "Confirm" Makan Bertambah-Tambah

Aina Munirah

Resipi Kerabu Pucuk Paku, "Confirm" Makan Bertambah-Tambah

Kerabu merupakan salah satu juadah tradisional yang amat popular dalam kalangan masyarakat. Rasanya yang segar sering dijadikan sebagai pelengkap bagi sesuatu hidangan.

Biasanya, hidangan ini dihasilkan dari beberapa gabungan sayur-sayuran dan turut dicampur dengan perahan limau, cili, serta bahan lain untuk menghasilkan gabungan rasa yang masam, pedas dan berlemak.

Selain itu, kerabu ini juga biasanya dikategorikan sebagai makanan yang sihat kerana ia mengandungi bahan yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat yang penting untuk badan.

Oleh sebab itu, ia juga sesuai dijadikan sebagai menu sihat bagi sesiapa yang ingin mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Jadi, bagi sesiapa yang ingin mencuba menyediakan juadah kerabu ini, anda boleh cuba resipi kerabu pucuk paku yang telah dikongsikan oleh K. Seetee di akaun Facebook miliknya.

Bahan-bahan kerabu pucuk paku

  • Pucuk Paku

  • Belacan

  • Cili padi

  • Lengkuas

  • Serai

  • Bawang merah

  • 1/2kg isi ikan yang telah direbus

  • 1/2kg santan

  • Tiga sudu gula

  • Kerisik

  • 1/2kg kepala santan

  • Air perahan limau nipis

Cara penyediaan

Mula-mula, celurkan pucuk paku sehingga ia betul-betul lembut dan layu. Selepas itu, toskan dan rendamkan seketika di dalam air biasa.

Sementara itu, anda boleh sediakan bahan-bahan untuk digaul bersama dengan pucuk paku tersebut.

Masukkan belacan, cili padi, lengkuas, serai, bawang merah, isi ikan yang telah direbus dan santan ke dalam pengisar dan kisarkan.

Kemudian, masukkan pula gula dan kerisik dan anda boleh sambung kisarkan ia sehingga lumat. Selepas itu, anda boleh tuangkan ia ke dalam bekas besar dan masukkan pula kepala santan.

Gaul kesemuanya sehingga rata dan sebati. Masukkan juga air perahan limau ke dalam campuran tadi sedikit demi sedikit mengikut citarasa anda.

Selepas itu, anda boleh tuangkan ia ke atas pucuk paku yang telah dicelur tadi. Aduk kesemuanya sehingga ia sebati. Kerabu pucuk paku anda siap untuk dihidang.

Menurut K. Seetee, kerabu ini perlulah dimakan dalam kadar yang segera bagi mengelakkan ia menjadi rosak. Sekiranya anda tidak mahu untuk menikmatinya secara terus, simpan kerabu tersebut di dalam peti sejuk terlebih dahulu.

Jangan lupa untuk cuba resipi ini. Bagi melihat cara penyediaan dengan lebih jelas, anda boleh tonton video di bawah ini.

Sumber:Facebook