
Republikan Kuasai Majoriti Senat AS
Parti Republikan dipercayai berjaya kuasai majoriti Senat Amerika Syarikat (AS) daripada kawalan Demokrat, menurut jangkaan media AS pada awal Rabu.
Kemenangan ini menamatkan empat tahun kuasa Demokrat di Senat dan memberi dorongan besar kepada Republikan untuk menguasai setiap cabang kerajaan.
Ini juga bermakna presiden yang bakal dilantik kelak akan mendapat sokongan besar dalam melaksanakan agenda politik, termasuk melantik hakim, jika ia adalah Donald Trump.
Namun, jika Kamala Harris dari Demokrat yang menang, keputusan ini akan mewujudkan kebuntuan dalam proses perundangan.
Di Capitol AS, Kongres terbahagi kepada Dewan Perwakilan dan Senat yang mempunyai 100 anggota, dengan 34 kerusi dipertandingkan tahun ini. Pilihan raya kongres dijalankan serentak dengan pemilihan presiden.
Gabenor Republikan, Jim Justice dari West Virginia, mencatat kemenangan awal bagi Republikan dengan mudah apabila berjaya mengisi kerusi Senat yang ditinggalkan oleh Joe Manchin, ahli bebas yang menyokong Demokrat.
Kemenangan Republikan diteruskan di Ohio apabila calon Demokrat lama, Sherrod Brown, tewas kepada Bernie Moreno, seorang ahli perniagaan yang disokong Trump.
Fox News dan ABC mengumumkan kemenangan Republikan selepas Senator Deb Fischer mempertahankan kerusinya di Nebraska daripada calon bebas.
Senator John Cornyn dari Texas, yang berpotensi memimpin majoriti Republikan pada Januari, menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Presiden Trump dan majoriti konservatif baharu bagi “mengembalikan keagungan Amerika”.
Dengan kemenangan di West Virginia dan Ohio, Republikan berjaya menukar kedudukan Demokrat di Senat yang sebelum ini 51-49.
Mereka berpotensi meningkatkan kelebihan ini dengan merampas kerusi di Montana, Wisconsin dan Pennsylvania.
Demokrat cuba mengurangkan kerugian dengan merebut kerusi di Texas dan Florida, namun terpaksa akur apabila kerusi tersebut kekal milik Republikan.
Jika Republikan berjaya merampas semua kerusi dalam pertarungan sengit ini, mereka akan menguasai 55 daripada 100 kerusi di Senat.
Ini akan memberikan mereka kuasa besar untuk meluluskan agenda domestik Trump dan pelantikan kehakiman, sekiranya Trump mengalahkan Harris dalam pilihan raya presiden.
Dalam pada itu, organisasi pemantau kewangan politik, OpenSecrets, melaporkan perbelanjaan pilihan raya kongres kali ini melebihi $10 bilion, hanya sedikit kurang daripada tahun 2020 tetapi hampir dua kali ganda daripada kos pilihan raya presiden 2024 yang bernilai $5.5 bilion.
Walaupun Senat berperanan meluluskan perjanjian antarabangsa dan pelantikan presiden, seperti duta dan hakim Mahkamah Agung, semua rang undang-undang berkaitan kewangan mesti dimulakan di Dewan Perwakilan.
Kawalan Dewan Perwakilan dijangka mengambil masa beberapa hari lagi untuk diputuskan, di mana Demokrat hanya perlu menukar empat kerusi bagi mendapatkan majoriti.
Dalam sejarah baharu, dua wanita berkulit hitam dari Demokrat, Angela Alsobrooks dan Lisa Blunt Rochester, telah berjaya memperoleh kemenangan di Senat bagi negeri Maryland dan Delaware.
Ini menjadikan kali pertama dua wanita berkulit hitam akan berkhidmat dalam Senat serentak. Sehingga kini, hanya tiga wanita berkulit hitam pernah menjadi senator, termasuk Kamala Harris.
Selain itu, Sarah McBride mencipta sejarah sebagai ahli Kongres transgender pertama selepas menewaskan calon Republikan John Whalen III untuk mewakili Delaware di Dewan Perwakilan.
BACA: Pemandu Guna EV Tidak Akan Kembali Guna Petrol – Geely
Sumber: AFP