
Rentas 13 Negara & Sejauh 18,755km, Ini Pengembaraan Terjauh Anda Boleh Lalui Dengan Kereta Api
Melancong melihat keindahan dunia dan keajaiban ciptaan Tuhan merupakan impian setiap manusia. Baik pelancongan domestik mahupun global, keinginan untuk melihat tempat orang, merasai juadah tempatan dan menyelami kebudayaan yang berbeza sememangnya sentiasa tersemat dalam diri masing-masing.
Selain itu, ada juga yang keluar melancong kerana mahukan cabaran. Bertambah sukar tempat yang hendak dituju atau masa yang diperlukan untuk tiba, makin menarik bagi dirinya. Jika terbang dengan pesawat itu terlalu biasa, pasti ada yang tercari-cari mod pelancongan dengan pengangkutan berbeza, misalnya dengan kapal laut ataupun kereta api.
Bila sebut pasal kereta api, pernah tak anda terfikir, ada tak landasan kereta api terjauh dan berhubung antara satu sama lain? Kalau ada, dimana pula lokasinya? Merentasi pelbagai negara ke?
Sebenarnya ada, landasan kereta api terjauh yang boleh anda lalui melibatkan jarak sepanjang 18,755 kilometer dan perjalanannya mengambil masa selama 21 hari untuk disempurnakan. Wow.
Landasan ini sebenarnya ditemui oleh beberapa pengguna Reddit dan subreddt r/MapPorn yang membuat penelitian ke atas peta-peta yang ada dan mendapati bahawa pengembaraan terjauh menggunakan kereta api boleh dilakukan bermula daripada Lagos, di selatan Portugal sehinggalah berakhir di Singapura.
Menerusi perkongsian u/htGoSEVe, dia memuat naik sebuah foto yang menerangkan laluan spesifik kereta api yang akan membawa pengembara merentasi 13 negara berbeza, termasuklah Sepanyol, Poland, Belarus, Mongolia, Vietnam, Thailand, dan Malaysia.
Katanya lagi, perjalanan ini boleh direalisasikan selepas pembukaan laluan baharu kereta api di Laos, iaitu Laluan Boten-Vientiane, Disember tahun lepas, sekaligus menghubungkan Kunming, di China dengan Vientiane, ibu kota Laos.

Sebelum laluan itu dibuka, pengembara kereta api terpaksa mengakhiri perjalanan mereka di Vietnam dengan jarak keseluruhan sejauh 16,898 kilometer.

Menurut Mark Smith daripada seat61.com, seorang pakar kereta api yang turut membantu dalam melakukan beberapa pengiraan penting perjalanan tersebut berkata, pengembaraan ini secara keseluruhan akan menelan masa selama 21 hari.
Katanya lagi, tempoh tersebut turut merangkumi waktu berhenti di beberapa perhentian, waktu yang diperlukan untuk pengurusan dokumen seperti visa dan sebagainya.
Berkenaan kosnya pula, Mark menganggarkan pengembara perlu membelanjakan sehingga RM 6,392 untuk tiket sahaja, tidak termasuk kos-kos lain.
Jadi, bagaimana? Cukup terujakah anda untuk mengembara menggunakan kereta api melalui perjalanan terjauh yang mungkin ini? Jika ya dan bersedia, boleh lah mengumpul bajet siap-siap bermula dari sekarang.
Sumber: Mashable