Pengeluar kereta dari Perancis, Renault mengumumkan bahawa syarikat itu akan tutup kilang mereka di Moscow, lapor CNN.
Pengumuman itu dibuat sejurus Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menggesa memboikot Renault selain mendakwa syarikat itu menaja ‘mesin perang’ untuk Russia.
“Renault, Auchan, Leroy Merlin dan lain-lain perlu berhenti untuk menjadi penaja jentera perang Russia,” kata presiden itu, memetik CNN.
Difahamkan, keputusan penutupan itu mengambil kira faktor persekitaran semasa serta bertindak secara bertanggungjawab terhadap 45,000 pekerja di Russia.
Dalam masa sama, syarikat itu juga memaklumkan sudah melaksanakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mematuhi sekatan antarabangsa.
Sehari sebelum pengumuman dibuat, Renault pernah memaklumkan bahawa mereka akan menyambung semula pengeluaran hanya untuk tiga hari sahaja.
Selain itu, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba turut menggesa pemulauan global terhadap syarikat pengeluar kereta itu.
“Renault enggan untuk menarik diri dari Russia, perkara ini tidak mengejutkan sesiapa apabila Renault sendiri menyokong perang pencerobohan kejam di Eropah.
“Tetapi kesilapan harus datang dengan harga, terutamanya apabila ia berulang. Saya menyeru pelanggan dan perniagaan di seluruh dunia untuk memboikot Kumpulan Renault,” katanya, lapor CNN.
Bagaimanapun, syarikat itu dilapor enggan mengulas apabila disoal mengenai keputusan untuk menggantung aktiviti kilang di Moscow serta dakwaan yang diucap presiden Ukraine itu.
Sebaliknya, Renault berkata dalam satu kenyataan bahawa nilai aset yang tidak ketara akan disatukan, melibatkan hartanah, loji dan peralatan di Russia yang bernilai lebih RM10 bilion pada akhir 2021.
Untuk rekod, syarikat pengeluar kereta dari Perancis itu mendominasi hampir 21 peratus pasaran kereta di Russia pada tahun lepas.
Sumber: CNN News