Shandong, wilayah pertanian utama China, buat julung kali memperkenalkan jenama “Remarkable Shandong” di Malaysia melalui Ekspo Perdagangan Pertanian 2025 yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Ekspo ini menghimpunkan produk premium dari 16 bandar di Shandong dan disertai agensi kerajaan, persatuan perdagangan serta pembeli dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan negara lain.
Shandong mencatat nilai pengeluaran pertanian RMB1.28 trilion (RM755 bilion) pada 2024, dengan eksport ke lebih 170 negara. Hasil seperti bawang putih, halia, buah-buahan dan sayuran segar sudah lama popular di Malaysia kerana kualiti dan keterjangkauannya.
Ekspo ini bukan sahaja menampilkan lebih 20 syarikat dengan produk pertanian dan teknologi moden, malah menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian strategik antara syarikat Shandong dan Malaysia dalam bidang bijirin, minyak, makanan haiwan serta teknologi pertanian.
Selain ruang pameran lima kategori utama (buah dan sayur, bijirin, daging dan akuatik, makanan siap dan teknologi), program turut merangkumi forum pertanian, sesi padanan perniagaan satu-ke-satu, serta peluang merasai sendiri produk Shandong.
Malaysia dipilih kerana kedudukannya sebagai hab serantau ASEAN, sekali gus menjadikan ekspo ini platform jangka panjang untuk memperkukuh keterjaminan makanan, kerjasama teknologi dan kelestarian antara China, Malaysia dan negara jiran.