Remaja Nekad Tikam Leher Rakan, Tak Tahan Sering Diejek Miskin
Seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun di wilayah timur laut Buriram dilaporkan menikam salah seorang rakannya di leher gara-gara sering dibuli dan mempersendakan keluarganya kerana miskin.
Menurut Thaiger, Remajayang dinamakan sebagai A itu telah menyerang rakannya di dalam bilik darjah sebuah sekolah di daerah Pakam, wilayah Buriram pada Jumaat lalu.
Dia dilaporkan mendekati si pembuli dan menikamnya di leher dan belakangnya sebelum rakan kelas yang lain campur tangan.
Mangsa serangan terbaring dalam genangan darah di lantai kelas selepas terkena tikaman tersebut. Mangsa yang dimasukkan ke dalam hospital dan sedang pulih berkata, dia berkawan rapat dengan penyerang.
Dia menegaskan bahawa dia tidak pernah memandang rendah kepadanya, hanya mengusiknya seperti biasa dilakukan oleh kawan-kawan.
Ibu mangsa berkata, kejadian itu sangat mengejutkannya. Dia melaporkan bahawa anaknya telah menerima 20 jahitan di belakang leher dan 11 jahitan di pinggul.
Ibu kepada penyerang tersebut mengakui kepada media bahawa keluarganya tidak bernasib baik dan hidup miskin.
Dia juga mendedahkan bahawa dia bekerja di wilayah lain dan tidak mempunyai masa untuk menjaga anaknya dengan baik.
Ibu penyerang tersebut berkata anaknya hanya melakukan serangan itu kerana dia dibuli.
Dia menambah lagi kebanyakan rakan anaknya membuli anaknya kerana dia dari keluarga miskin, dan tidak mampu membeli makanan ringan seperti kanak-kanak lain.
Wanita itu juga mendedahkan bahawa keluarga mangsa meminta wang pampasan. Namun dia tidak menyatakan berapa banyak jumlah pampasan yang dituntut tetapi mengakui ia adalah satu jumlah yang besar dan mereka tidak mampu untuk membayarnya.
Keluarga mangsa memfailkan aduan di Balai Polis Pakam tetapi tiada butiran lanjut didedahkan setakat ini.
Ibu kepada mangsa berkata bahawa dia akan memberikan butiran lanjut selepas keluarga penyerang bersetuju untuk membayar pampasan.
Sumber: The Thaiger