PERMAISURI, 7 Jan (Bernama) — Kehilangan seorang remaja lelaki sejak Ahad lalu terjawab apabila dia ditemukan lemas di Sungai Hulu Seladang, Setiu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata mayat Wan Amirul Afiq Wan Rosdi, 18, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 11.30 pagi.
”SAR dijalankan bermula pagi ini selepas bapa mangsa membuat laporan polis susulan anaknya tidak pulang ke rumah keluarga di Kampung Padang, di sini sejak Ahad.
”Bapa mangsa melaporkan bahawa anaknya keluar berpakaian lengkap dengan menaiki motosikal untuk pergi memancing di sungai Kampung Hulu Seladang pada 10.30 malam tetapi tidak pulang ke rumah. Bapa mangsa mengesyaki mangsa terjatuh ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
— BERNAMA