Remaja Dipercayai Menyamar
Kredit: Bernama

Remaja Disyaki Telah Seminggu Menyamar Jadi Petugas Sebuah Hospital Di Serdang

Athirah

Remaja Disyaki Telah Seminggu Menyamar Jadi Petugas Sebuah Hospital Di Serdang

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima satu laporan daripada kakitangan sebuah hospital di Serdang berhubung seorang remaja yang menyamar sebagai pegawai perubatan

Menurut Sinar Harian, remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak dikenali telah berada di dalam dewan bedah hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 1 petang, pada Rabu.

Tambah Wan Kamarul, laporan berkenaan menyatakan bahawa remaja berkenaan mengaku sebagai pegawai perubatan dan mahu membantu menjalankan pembedahan.

Pihak hospital kemudian turut mengesan kehadiran remaja yang sama pada Khamis, kira-kira 8.30 pagi.

“Remaja ini cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.

“Pihak hospital terus menghubungi polis dan tangkapan telah dilakukan ke atas remaja tersebut jam 9 pagi,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Polis kemudian menahan remaja tersebut di lobi hospital berkenaan. Turut dirampas adalah sehelai baju scrub, seluar scrub dan ‘lanyard’ hak milik hospital terbabit.

Jelasnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atau Seksyen 170 kanun yang sama kerana menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Jika sabit kesalahan menceroboh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

“Manakala hukuman bagi menyamar sebagai penjawat awam boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamarul turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menimbulkan apa-apa spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar berhubung kejadian itu.

Sementara itu, dalam laporan berbeza, Sinar Harian melaporkan bahawa siasatan awal mendapati remaja terbabit disyaki telah seminggu menyamar sebagai petugas di hospital tersebut.

BACA: JPJ Laksana Penggantian Kamera AwAS Selari Perubahan Teknologi

Sumber: Sinar Harian