balingan pisau punca kematian remaja lelaki
Gambar: Sinar Harian

Remaja Dibaling Pisau: Balingan Terkena Ateri Leher Hingga Pendarahan Jadi Punca Kematian – Polis

Nurhanis

Remaja Dibaling Pisau: Balingan Terkena Ateri Leher Hingga Pendarahan Jadi Punca Kematian – Polis

Kecederaan di leher merupakan punca kematian remaja lelaki berusia 16 tahun setelah sebilah pisau dibaling kakaknya dalam kejadian di Johor Bahru pada semalam, lapor Sinar Harian.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin yang menyatakan balingan pisau itu terkena di bahagian ateri atau pembuluh darah di leher sebelah kanan.

Menurutnya, kakak mangsa membaling pisau daripada jenis yang biasa digunakan untuk memotong sayur, namun luka yang terkena di bahagian leher itu mengakibatkan pendarahan yang agak banyak.

“Bedah siasat dah pun selesai…kita tak kata balingan itu tepat, tetapi balingan pisau itu telah mengenai bahagian ateri mangsa sehingga menyebabkan pendarahan yang banyak.

“Pendarahan itu disyaki menyebabkan mangsa kehilangan banyak darah menjadi punca kematian,” katanya kepada pemberita Sinar Harian hari ini.

Imbas kembali, segalanya bermula semasa kedua-dua beradik itu dipercayai bergaduh berebut tempat duduk di dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Bagaimanapun konflik tersebut dipercayai berlarutan apabila kakak mangsa dikatakan turut diejek ketika memasuki rumah menyebabkan remaja perempuan terbabit bertindak membaling pisau ke arah mangsa.

Sehubungan itu remaja perempuan terbabit ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, sementara kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun kata Rahmat, sehingga kini (laporan ini disiarkan) kes tersebut masih belum mempunyai perkembangan selanjutnya.

BACA JUGA: Remaja Perempuan Baling Pisau Pada Adik Sehingga Maut, Direman 6 Hari

Sumber: Sinar Harian