
Remaja Belgium Cipta Sejarah, Raih PhD Fizik Kuantum Pada Usia 15 Tahun
Seorang remaja berusia 15 tahun telah meraih perhatian dunia apabila secara rasmi bergelar doktor dalam bidang fizik kuantum, lapor The Brussels Times.
Laurent Simons yang berasal dari Belgium berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang fizik kuantum di Universiti Antwerp.
Di samping itu, Laurent percaya beliau mungkin individu termuda yang pernah memperoleh ijazah kedoktoran.
Kejayaan terbaharunya itu menandakan satu lagi kemuncak dalam perjalanan akademiknya yang sejak sekian lama menarik perhatian dunia sains, satu perjalanan yang bermula jauh sebelum beliau memasuki usia remaja.
Digelar sebagai “Little Einstein”, Laurent mula menonjol sejak kecil apabila menamatkan sekolah menengah pada usia lapan tahun dan memperoleh ijazah sarjana muda fizik pada usia 12 tahun.
Pada ketika itu, beliau sudah didekati syarikat-syarikat besar dan dermawan kaya yang ingin menyokong cita-cita saintifiknya. Bagaimanapun, Laurent tidak terpengaruh dengan sebarang tawaran yang diterima.
Kejayaan luar biasa ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga mencerminkan visi besar beliau untuk menggabungkan fizik, kimia, perubatan dan kecerdasan buatan bagi meningkatkan jangka hayat manusia.
“Selepas ini, saya akan mula berusha mencapai matlamat saya iaitu mencipta super-humans,” ujar Laurent seperti yang dilaporkan dalam The Brussels Times.
Pada usia sembilan tahun, beliau pernah mendaftar dalam program kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Eindhoven, namun meninggalkan program itu kerana tidak bersetuju dengan jadual tamat pengajian.
Menurut portal The Brussels Times, beliau kemudiannya beralih ke bidang fizik di Antwerp.
Difahamkan, Laurent pernah mengikuti latihan di Institut Max Planck, Jerman, di mana beliau mula meneliti persilangan antara fizik dan perubatan.
Penyelidikan sarjananya menumpukan pada perbandingan antara keadaan boson dan lubang hitam, dengan meneliti kondensat Bose–Einstein pada suhu yang amat rendah.
Setelah menyiapkan tesis PhD pertamanya, beliau terus ke Munich untuk memulakan PhD kedua dalam sains perubatan dengan penekanan pada kecerdasan buatan.
Walaupun menerima tawaran daripada syarikat teknologi ternama, ibu bapanya menegaskan agar penyelidikan Laurent memberi manfaat sebenar kepada bidang perubatan.
Sumber: The Brussels Times