Remaja Antara 43 Mengaku Salah Berparti Semasa PKPB

Nur Syafiqah

KOTA TINGGI, 21 Mei — Seramai 43 individu termasuk 11 remaja tempatan dan seorang remaja warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berparti Ahad lepas.

Kesemua tertuduh berumur antara 15 hingga 25 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didapati berhimpun dengan maksud sosial dengan cara menyertai parti tertutup dan berhibur di sebuah rumah di Taman Sri Penawar, Bandar Penawar, dekat sini, pada 2.00 pagi 17 Mei lepas.

Mereka dituduh mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (6) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM700 hingga RM800 atau penjara 20 hari terhadap 31 tertuduh.

Bagi 11 remaja warga tempatan berumur 15 hingga 17 tahun, mereka dibenarkan diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin manakala remaja warga Myanmar berusia 17 tahun dibenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia sementara mahkamah menjatuhkan hukuman pada 14 Sept di Mahkamah Kanak-Kanak.

Remaja Myanmar itu turut mengaku bersalah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas hasil ujian air kencing mendapati positif dadah jenis ganja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Hilmi Sulaiman Salahuddin dan Kamarul Ariffin Nordin.

Sumber: BERNAMA