Seorang kanak-kanak perempuan di Kabupaten Madiun, Indonesia didakwa telah dihamili oleh makhluk halus, lapor portal Suara Jawa Tengah.
Walaupun begitu, pihak polis mencurigai laporan berkenaan perkara tersebut.
Pasukan penyiasat Polis Madiun difahamkan telah mengambil sampel kepunyaan bayi, bapa tiri dan bapa kandung mangsa untuk melakukan ujian DNA.
Tindakan itu dilakukan bagi menyiasat dakwaan kanak-kanak berusia 14 tahun dilaporkan hamil tanpa suami.
Pengambilan sampel DNA terhadap ayah tiri dan ayah kandung mangsa dibuat kerana salah satu daripada mereka disyaki merupakan bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa.
“Kami melakukan ujian DNA (Selasa). Ujian DNA dilakukan untuk membuktikan siapa bapa kandung bayi yang dilahirkan itu,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Madiun, AKP Ryan Wira Raja Pratama.
Menurutnya, ujian DNA itu penting bagi membuktikan dan menentukan suspek dalam kes tersebut. Ryan juga turut menyatakan bahawa keterangan saksi tidak memuaskan seakan ada menyembunyikan sesuatu.
Pada sisi lain pula, keluarga tersebut mengesyaki bahawa gadis tersebut hamil kerana telah disetubuhi makhluk halus.
Walau bagaimanapun, polis menolak untuk mempercayainya. Ryan menyatakan hasil ujian DNA akan dapat diketahui dalam masa seminggu. Selepas daripada itu, polis akan menentukan siapa sebenarnya suspek dalam kes ini.
Dalam pada itu, polis menyatakan bahawa bayi yang dilahirkan mangsa sudah berusia satu bulan. Keadaan mangsa stabil. Pihak polis sudah pun selesai meminta keterangan mangsa.
“Mangsa juga telah memberikan keterangan. Namun kami merasakan terdapat banyak percanggahan dalam maklumat yang disampaikan,” katanya.
Terdahulu, seorang kanak-kanak di Kabupaten Madiun dilaporkan hamil dan telah melahirkan bayi sebulan yang lalu. Bapa kandung mangsa bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan didakwa menuduh bapa tiri anaknya itu individu yang menghamili anaknya.
Sumber: suarajawatengah.id