KOTA BHARU, 24 Nov – Seorang pelajar Tingkatan Satu ditemukan mati lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tali air di Kampung Telaga Bata, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Mohd Fakri Mazlan berkata mangsa, Muhammad Alif Asyraf Parudin, 13, dikatakan berjalan kaki bersama beberapa rakannya sebelum tergelincir jatuh.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam10.08 pagi tadi.
“Sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Bomba (PB) Fauzi Yasid bersama sebuah jentera telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa berjaya ditemukan di dasar tali air tempatnya terjatuh pada jam 10.43 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut
— BERNAMA