World Airline Awards SKYTRAX
Gambar: BERNAMA
Tiada Kategori

Ranking Malaysia Airlines & AirAsia Dalam Senarai Penerbangan Terbaik Dunia Meningkat

Nur Alissa

Ranking Malaysia Airlines & AirAsia Dalam Senarai Penerbangan Terbaik Dunia Meningkat

Untuk tiba ke suatu destinasi menaiki kapal terbang bukanlah sesuatu perkara yang dilakukan dalam rutin harian. Selalunya mereka yang memilih untuk menaiki pesawat hendak menuju ke destinasi yang jauh bagi menjimatkan masa dan tenaga, atau ke luar negara atas urusan kerja atau melancong.

Namun, setiap orang melalui pengalaman berbeza mengikut syarikat penerbangan, dari segi keselesaan pesawat, layanan kru serta faedah servis ditawarkan kepada pelanggan.

Penting untuk syarikat penerbangan menjaganya kerana ia bukan sahaja mempengaruhi pengalaman pelanggan, malah boleh menjejaskan imej syarikat penerbangan meskipun disebabkan oleh satu pengalaman buruk.

Baru-baru ini World Airline Awards (SKYTRAX) mengeluarkan kedudukan terkini syarikat-syarikat penerbangan serta lapangan terbang global mengikut kategori.

Dua syarikat penerbangan utama Malaysia, Malaysia Airlines (MAS) serta AirAsia turut tersenarai dan menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan pada tahun ini berbanding 2024.

World Airline Awards SKYTRAX
Gambar: BERNAMA

Bagi kategori keseluruhan, pada tahun lepas, MAS berada di kedudukan ke 39 manakala AirAsia di tempat ke 30 daripada 100 syarikat penerbangan.

Pada tahun ini, kedua buah syarikat tersebut naik beberapa anak tangga bagi kategori keseluruhan. Merujuk kedudukan terbaru, AirAsia kini di tangga ke-28, sementara MAS melonjak naik ke tangga ke-27.

Berikut adalah kedudukan terkini MAS serta AirAsia dalam lain-lain kategori:

1. Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia:

AirAsia (No.1)

2. Syarikat Penerbangan Anak Kapal Terbaik Dunia :

Malaysia Airlines (No. 8)

3. Servis Lapangan Terbang Terbaik Dunia:

Malaysia Airlines (No.6)

4. Syarikat Penerbangan Terbersih Dunia:

Malaysia Airlines (No.12)

5. Syarikat Penerbangan Kelas Ekonomi Terbaik Dunia:

Malaysia Airlines (No.16)

6. Tempat Duduk Kelas Ekonomi Terbaik:

Malaysia Airlines (No.10)

7. Syarikat Penerbangan Terbaik Asia:

Malaysia Airlines (No.9)

8. Staf Syarikat Penerbangan Terbaik Asia:

Malaysia Airlines (No.7)

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Pengasas Bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes terharu setelah AirAsia dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia.

“Kemenangan ini benar-benar menyentuh hati saya yang hanya menerbangkan 200,000 tetamu pada tahun pertama dan kini mensasarkan untuk menyambut tetamu ke satu bilion pada tahun ini.

“Perjalanan ini tidak mungkin akan berlaku tanpa sokongan padu daripada para tetamu serta dedikasi berterusan Allstars yang luar biasa.

“Setiap cabaran, setiap kebangkitan, semuanya kerana kepercayaan dan usaha mereka.

“Kami ingin mengucapkan berterima kasih kepada pasukan Skytrax kerana mengiktiraf usaha ini dan saya ingin berkongsi anugerah ini bersama-sama Allstars kerana anugerah ini adalah milik mereka. Terima kasih kerana terus percaya pada impian kami,” katanya.

Sumber: SKYTRAX World Airline Awards

BACA: UM Cipta Sejarah, Kini Di Tangga Ke-58 Dunia

BACA: Jabatan Pertanian Perkenal Perangkap Serangga Solar, Tingkat Kualiti Durian

BACA: Jangan Biar Serangga Bena Putih Bersarang, Wanita Kongsi Cara Atasi