Kuala Lumpur : Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yakin Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah individu yang menjadi dalang di sebalik gerakan pengaturan semula landskap politik negara.
Katanya Dr Mahathir tidak akan meletak jawatan sebagai perdana menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini sekiranya gerakan itu adalah rancangannya.
“Saya tidak fikir Tun (Dr Mahathir) menjadi dalang (gerakan itu). Kenapa dia nak letak jawatan (sekiranya beliau dalang). Kami perlu tunggu,” kata Ahli Parlimen daripada DAP itu ketika ditemui di kediaman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut, di sini hari ini.
Semalam, beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, mencetuskan tanda tanya tentang tujuan mesyuarat itu diadakan.
Sebelum itu, beberapa mesyuarat berasingan melibatkan beberapa parti politik di tengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara.
Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sumber : Bernama