ramalan luruan monsun 22 nov
Kredit: Bernama

Ramalan Cuaca Signifikan, Luruan Monsun Dijangka Berlaku Hingga 22 November Ini

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Ramalan Cuaca Signifikan, Luruan Monsun Dijangka Berlaku Hingga 22 November Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia, MET Malaysia mengeluarkan ramalan luruan monsun yang dijangka berlaku sehingga 22 Nov ini.

Pihak berkenaan telah memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran di Facebook rasmi pada 1.58 petang, 16 November 2023.

Dalam hantaran berkenaan, ramalan cuaca tersebut dikeluarkan berdasarkan analisis model-model cuaca oleh pihaknya.

Sehubungan itu, MET Malaysia memaklumkan bahawa keadaan ini akan meningkatkan kadar kelembapan di beberapa kawasan di Malaysia.

Peningkatan kadar kelembapan ini kemudiannya akan meingkatkan kadar kekerapan hujan di kawasan yang terlibat.

“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di pantai timur dan utara Semenanjung serta Sabah dalam tempoh berkenaan.”

Selain itu, MET Malaysia turut menjangkakan fenomena angin kencang dan laut bergelora bagi kawasan perairan Laut China Selatan.

“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan.”

Selain itu, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) bagi beberapa negeri di Malaysia.

Bagi negeri Kelantan dan Terengganu, amaran berkenaan akan berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 18 November 2023.

“Manakala, bagi negeri Pahang dan Sabah pula berkuat kuasa pada 17 sehingga 19 November 2023.” tulis MET Malaysia dalam satu hantaran.

Bukan itu sahaja, pihak tersebut turut mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora yang mula berkuat kuasa pada hari ini.

Amaran tersebut difahamkan akan berkuat kuasa bermula hari ini dan berakhir pada 21 November 2023.

Ribut petir dijangka berlaku di Pantai Barat Semenanjung dan Sarawak

Sementara itu, hujan berserta ribut petir juga berpotensi berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung serta utara dan tengah Sarawak.

Fenomena tersebut berkemungkinan akan berlaku di kawasan-kawasan yang dinyatakan pada sebelah petang sehingga ke malam.

Pada akhir kenyataannya, MET Malaysia menasihati orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkenaan cuaca di Malaysia daripada platform yang sahih.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.”

BACA: Rupanya Tak Sama, Ini Cara Nak Tanam Untuk Dapatkan Sama Ada Daun Bawang Atau Bawang Sahaja

Sumber: MET Malaysia via Facebook