Gambar: KJ & Bernama

Ramai Yang Leka Dengan Kelonggaran SOP, KJ Bimbang Negara Tak Mampu Beralih Ke Fasa Endemik

Eyla Azri

Seperti yang kita tahu, kawasan Lembah Klang termasuk Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 10 September lalu.

Ini bermaksud, penduduk di sekitar Lembah Klang yang telah lengkap vaksin dibenarkan dine-in di premis kedai makan dan melancong di dalam negeri.

Maka ramai yang mengambil peluang ini untuk membawa keluarga termasuk anak-anak, berkunjung ke pusat membeli-belah dan berkelah di taman rekreasi.

Sedar akan ‘keterujaan’ penduduk Lembah Klang akan kelonggaran ini, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin mengangkat bicara dengan memuatnaik satu hantaran di laman Facebooknya.

“Saya faham ramai yang teruja dengan kelonggaran ini terutamanya setelah hampir tiga bulan berada di dalam Fasa 1 PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sebelum itu.

“Bagaimanapun, aktiviti-aktiviti seperti ini pasti menyebabkan berlakunya perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang rendah.

“Penting untuk saya ingatkan bahawa vaksinasi lengkap bukan alasan untuk kita leka dalam melakukan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

“Tindakan-tindakan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus COVID-19.

“Jika perkara ini gagal untuk diamalkan dan dipatuhi, kebimbangan saya adalah kita tidak akan mampu beralih ke fasa endemik, sekaligus membantutkan usaha pemulihan negara oleh kerajaan,” tulis Khairy dalam hantarannya.

Penularan jangkitan COVID-19 di Lembah Klang mula menunjukkan trend penurunan sejak kebelakangan ini setelah sekian lama mencatatkan kes harian tertinggi.

Hal ini dilihat sebagai satu perkembangan positif sekiranya ia berterusan agar negara mampu beralih ke fasa endemik akhir Oktober ini.

Sumber: Khairy Jamaluddin