Putrajaya, 31 Okt- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya memberitahunya bahawa para petugas mereka khuatir dijangkiti COVID-19 jika pilihanraya diteruskan di Batu Sapi dan Sarawak.
Dalam perutusan hari ini, beliau berkata PRK Batu Sapi yang dijangka akan diadakan pada Disember ini dan Pilihanraya Sarawak yang mungkin diadakan bila-bila masa tidak dapat dielakkan kerana tertakluk kepada perlembagaan. Pun begitu katanya, kedua-dua pilihanraya ini hanya boleh ditangguhkan jika darurat diisytiharkan di kawasan terlibat.
“Ketua Pengarah Kesihatan juga melaporkan, jika pilihanraya negeri Sarawak diteruskan, beliau amat bimbang kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap, apakah akan mampu menampung peningkatan kes COVID-19 yang berkemungkinan naik mendadak selepas pilihanraya,” tambahnya.
Katanya, sebanyak 20,000 kes positif baru telah dicatatkan dalam gelombang ketiga COVID-19 berbanding 10,000 kes direkodkan sebelumnya.
“Saya memandang serius trend peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di negara kita pada masa ini. Dalam gelombang ketiga COVID-19 ini, hanya dalam tempoh sebulan lalu, hampir 20,000 kes positif baru dicatatkan di Malaysia berbanding 10,576 kes dalam tempoh enam bulan sebelumnya.
Sementara itu tambahnya, peningkatan mendadak ini telah memberi tekanan kepada para petugas barisan hadapan.
Katanya, di Sabah sahaja lebih 300 petugas barisan hadapan positif dan lebih 1,200 petugas dikuarantin manakala seramai kira-kira hampir 11,000 anggota polis terpaksa dikuarantin setakat ini di seluruh Malaysia.
Sumber: Bernama