KUALA LUMPUR, 25 Sept — Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) mendapati ramai pengguna di negara ini tidak berpuas hati dengan kualiti kelajuan Internet terutamanya pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusinya Datin Mohana Mohariff berkata dapatan itu merupakan hasil bancian dalam talian melibatkan 209 responden yang dijalankan CFM, dan daripada jumlah itu, 132 responden tidak berpuas hati dengan kualiti kelajuan Internet seperti yang dijanjikan oleh penyedia perkhidmatan (telco).
Katanya kebanyakan responden yang menghadapi masalah itu berada di Selangor, Sarawak, Pahang, Kedah, Kelantan dan Sabah.
“Bancian ini dijalankan semasa PKP memandangkan semua orang bergantung kepada sambungan Internet untuk berhubung dan bekerja dari rumah. Isu ini tidak sepatutnya berlaku kerana telco telah bersetuju untuk memberi perkhidmatan seperti yang telah dijanjikan kepada pelanggan.
“Responden turut membuat aduan mengenai masalah isyarat di dalam rumah dan terpaksa keluar bagi mendapatkan sambungan, dan walaupun aduan dilaporkan namun masih tiada perubahan termasuk tiada tindakan diambil oleh telco,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohana berkata CFM kini dalam proses memperkukuh kod amalan am pengguna untuk industri Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (GCC) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan hak pengguna dilindungi.
Beliau berkata antara perkara yang akan diperkemas dalam GCC ialah terma dan syarat kontrak perkhidmatan, pemberian ringkasan maklumat perkhidmatan dan pengguna berkeperluan khas.
CFM menyarankan pengguna membuat aduan kepada telco masing-masing dengan menyertakan maklumat terperinci mengenai masalah yang dihadapi.
Jika masalah tersebut masih tidak diselesaikan, laporkan kepada CFM melalui portal aduan bersepadu bersama MCMC di https://aduan.skmm.gov.my/.
Beliau berkata selain itu, ada beberapa cara yang boleh dilakukan pengguna untuk membantu menyelesaikan kelajuan Internet yang boleh dirujuk dalam portal CFM di http://www.consumerinfo.my/basic-faq-how-to-troubleshoot-your-wi-fi-network/
— BERNAMA