pm anwar g-dragon
Kredit: Anwar Ibrahim
Tiada Kategori

“Ramai Peminat Minta,” PM Anwar Kongsi Video Persembahan G-Dragon

Sofea

“Ramai Peminat Minta,” PM Anwar Kongsi Video Persembahan G-Dragon

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri tumpuan apabila berkongsi video persembahan penyanyi Korea Selatan, G-Dragon ketika di majlis makan malam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Gyeongju.

Anwar menerusi media sosial miliknya berkata beliau berkongsi video itu atas permintaan para peminat penyanyi popular terbabit.

“Ramai peminat K-Pop di Malaysia minta saya kongsikan persembahan G-Dragon malam ini.

“Jadi, saya kongsi sedikit detik persembahan beliau supaya tak menghampakan para peminat,” katanya.

Terdahulu, Anwar tiba di Korea Selatan untuk lawatan kerja selama tiga hari sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) APEC.

Ketika di mesyuarat itu, Anwar turut menerima ucapan tahniah daripada pemimpin APEC atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

“Berkesempatan bertemu santai dengan rakan-rakan pimpinan yang turut menghadiri AELM. Dalam suasana penuh mesra, kami bertukar pandangan terkait pelbagai isu semasa dan hala tuju serantau termasuk usaha memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih adil dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA JUGA: Anwar Temui CEO Nvidia Berkenaan Pembangunan AI Di Malaysia

Antara pemimpin APEC yang hadir pada AELM kali ini termasuklah Presiden China Xi Jinping, Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Chile Gabriel Boric.

Memetik Bernama, Malaysia antara 12 anggota pengasas APEC. Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

APEC terdiri daripada 21 ekonomi yang merangkumi hampir tiga bilion populasi, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global dan 48 peratus perdagangan dunia pada 2021.

Sumber: Anwar Ibrahim