
Ramai lelaki anggap benjolan kecil di perut atau pangkal paha tu perkara biasa. Tapi tahukah anda, ia mungkin tanda hernia, satu masalah yang sebenarnya sangat kerap berlaku?
Pada tahun 2019 sahaja, ada lebih 32 juta kes hernia dilaporkan di seluruh dunia. Malah, kira-kira 1 daripada 4 lelaki berusia 50–69 tahun pernah alami hernia inguinal sepanjang hidup mereka.
Menurut Dr. Soon Yuen, Pakar Perunding Bedah Am & Gastrousus Atas di Pusat Perubatan Sunway (SMC), hernia bukan sekadar isu kosmetik. Kalau dibiarkan, ia boleh membawa risiko serius, termasuk usus terperangkap (strangulasi) yang memerlukan pembedahan kecemasan.
Menurut Dr. Soon, lelaki ada keunikan anatomi sejak dari bayi lagi. Testis yang turun melalui dinding abdomen ketika janin berkembang meninggalkan satu laluan kecil (saluran inguinal). Laluan ini boleh jadi titik lemah dan akhirnya menyebabkan hernia.
Batuk atau sembelit kronik
Obesiti
Pernah jalani pembedahan abdomen/pelvis
Angkat berat tanpa teknik betul
Tanda-Tanda Hernia Yang Ramai Abaikan
Benjolan di pangkal paha atau perut
Rasa tak selesa atau sakit bila angkat berat, batuk, atau buat kerja berat
Dalam kes serius: sakit teruk, loya atau muntah mungkin tanda hernia terperangkap
“Lebih kurang 5% pesakit datang dengan hernia yang dah terperangkap. Ini boleh jadi sangat bahaya dan perlukan rawatan segera,” jelas Dr. Soon.
Menurut Dr. Soon, hernia takkan sembuh sendiri. Rawatan bergantung kepada tahap dan keadaan pesakit:
Pantau & Tunggu – sesuai untuk hernia kecil dan tak bergejala.
Pembedahan Terbuka – cara tradisional, potongan lebih besar, biasanya untuk kes besar atau rumit.
Pembedahan Laparoskopi – teknik moden dengan potongan kecil, cepat sembuh.
Pembedahan Port Tunggal – kaedah paling terkini, hanya guna satu potongan kecil.
“Teknik ini kurangkan parut, kurang sakit selepas pembedahan, malah ramai pesakit boleh balik hari yang sama. Dalam masa 3–7 hari dah boleh sambung aktiviti harian,” kata Dr. Soon.
Walaupun ada faktor yang tak boleh dielak (contoh umur & anatomi), gaya hidup sihat boleh bantu kurangkan risiko:
Jaga berat badan sihat
Amalkan teknik angkat barang dengan betul
Tingkatkan kekuatan otot teras
Rawat batuk & sembelit kronik
“Hernia nampak macam masalah kecil, tapi kalau lambat rawat boleh jadi lebih rumit. Rawatan awal bukan saja elak komplikasi, tapi juga cepatkan pemulihan,” pesan Dr. Soon.
Beliau juga tekankan kepentingan pengetahuan pesakit, bila pesakit faham dan ikut pelan rawatan, risiko hernia berulang boleh dikurangkan.
Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, berada di barisan hadapan inovasi perubatan dan penjagaan pesakit. Ia merupakan hospital pertama di negara ini yang memperoleh tiga akreditasi utama hospital, termasuk Joint Commission International (JCI) Accreditation yang berprestij, Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus mengukuhkan komitmen untuk memberikan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakitnya.