
Ramai Boleh “Relate”, Inilah Sebab Otak Kita Suka Tonton Rancangan Yang Sama
Menonton filem baharu atau memulakan siri baharu sememangnya memberikan hiburan dan keterujaan kepada penonton.
Ia seolah-olah membawa penonton ke dunia berbeza yang dipenuhi watak, jalan cerita serta idea segar.
Selain itu, penonton turut diperkenalkan dengan lokasi yang asing dan memahami perspektif yang tidak biasa.
Namun demikian, ramai dalam kalangan masyarakat masih gemar menonton semula rancangan serta episod yang sama berulang kali.
Justeru, timbul persoalan mengapa kita sanggup meluangkan begitu banyak masa menonton rancangan yang sudah diketahui?
Menurut portal Psychology Today, apabila menonton semula rancangan yang sudah dikenali, penonton menerima jalan cerita dan emosi yang dijangka.
Mereka sudah mengetahui bagaimana episod itu akan berakhir dan lebih penting, bagaimana perasaan mereka selepas tamatnya.
Inilah antara sebab mengapa komedi lebih kerap dipilih untuk ditonton berulang kali berbanding drama atau tragedi.
Kita cenderung menyukai sesuatu kerana sering terdedah kepadanya, fenomena ini dikenali sebagai kesan pendedahan semata-mata.
Difahamkan, kita mendengar lagu kegemaran berulang kali dan semakin menikmatinya dengan setiap pengulangan.
Dengan menonton semula rancangan yang sama, kita akan semakin menyukai rancangan itu dan merasa lebih terikat dengan setiap pengulangan.
Menurut portal Psychology Today, jika kita sudah biasa dengan sesuatu cerita, minda boleh berehat sambil tetap terhibur.
Ini bukan sikap malas, tetapi satu fakta asas evolusi bahawa organisma termasuk manusia menjimatkan tenaga dengan memilih tindakan yang memerlukan usaha paling minimum.

Prinsip ini dapat dilihat dengan jelas di kampus universiti melalui laluan yang terbentuk di atas rumput antara bangunan kelas.
Di samping itu, menonton rancangan yang sudah dikenali memerlukan usaha kognitif lebih sedikit berbanding rancangan baharu, dan kadangkala itulah sebenarnya yang diingini.
Menonton rancangan atau filem yang sudah dikenali juga memberi kesan nostalgia yang bersifat terapi.
Kenangan lama yang terbit semula dapat mencetuskan perasaan selesa, tenang dan bahagia.
Difahamkan, nostalgia ini bukan sekadar mengingat masa lampau, tetapi membantu menstabilkan emosi, mengurangkan tekanan dan memberi rasa kepuasan emosi yang mendalam.

Bagi ramai penonton, pengalaman menonton semula rancangan kegemaran menjadi satu cara untuk “mengisi semula tenaga emosi” sambil menikmati keakraban dengan cerita dan watak yang sudah dikenal.
Sumber: Psychology Today